Wednesday, March 19, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia ditimpa nasib malang

    BRISBANE, AUSTRALIA, 26 JULAI – Jurulatih Australia, Tony Gustavsson menegaskan hari ini bahawa kejadian dua pemain mengalami cedera otak dalam insiden latihan ‘intensiti tinggi’ berasingan menjelang perlawanan Piala Dunia Wanita mereka dengan Nigeria adalah nasib malang semata-mata dan dia turut memuji cara pasukannya memberikan respons terhadap kejadian itu.

    Matildas sudah kehilangan pemain cemerlang, Sam Kerr, akibat cedera sebelum perlawanan di Brisbane pada Khamis dan kini Mary Fowler, yang menggantikan bintang Chelsea itu dalam perlawanan pembukaan mereka, juga tidak dapat beraksi.

    Keadaan semakin mencabar apabila Kyah Simon masih dalam fasa pemulihan daripada kecederaan lutut yang dialaminya pada bulan Oktober, menyebabkan Caitlin Foord dari Arsenal menjadi satu-satunya penyerang yang tersedia bagi pasukan itu.

    Selain Fowler, pemain pertahanan, Aivi Luik, yang juga bermain sebagai pemain simpanan dalam kemenangan 1-0 menentang Ireland minggu lalu, turut mengalami kecederaan kepala semasa latihan dan telah dipastikan tidak dapat turut serta dalam perlawanan seterusnya.

    Menjelaskan insiden itu, Gustavsson berkata, “Latihan kami adalah seperti biasa, dua hari sebelum perlawanan, intensiti sentiasa tinggi. Namun dua pemain kami mengalami kecederaan kepala. Kami tidak melakukan apa-apa berbeza daripada rutin latihan kami.”

    “Tetapi pemain-pemain kami terus berusaha dengan gigih. Mereka benar-benar fokus dalam mengawal apa yang mampu dan kami memberi penghargaan atas respons mereka semasa latihan pada hari sebelumnya,” ujarnya.

    Gustavsson tidak memberikan sebarang kemaskini berkenaan kecederaan betis Kerr, namun dia menegaskan bahawa keadaannya akan dinilai semula selepas perlawanan dengan Nigeria.

    “Kami akan menunggu sehingga saat terakhir untuk menentukan persiapannya untuk beraksi,” tambahnya, merujuk kepada perlawanan terakhir Kumpulan B, apabila pasukan mereka akan menentang Kanada pada 31 Julai di Melbourne. – AFP

    Tony Gustavsson bercakap semasa sidang media di Stadium Suncorp di Brisbane, 26 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda