Tuesday, April 22, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia patah plot jatuh pesawat

    SYDNEY, 30 Julai – Australia berjaya menggagalkan ‘komplot pengganas’ yang mendapat inspirasi daripada kumpulan pejuang Islam untuk menjatuhkan sebuah pesawat udara dengan menggunakan bahan letupan improvisasi, menurut pihak berkuasa hari ini, selepas empat orang diberkas dalam serbuan di seluruh Sydney.

    Perdana Menteri Malcolm Turnbull berkata komplot itu nampaknya ‘terperinci’ dan bukannya dirancang oleh seorang penyerang, ketika kawalan keselamatan ditingkatkan di lapangan terbang utama antarabangsa dan domestik di seluruh negara itu.

    “Saya boleh melaporkan bahawa semalam operasi besar-besaran cegah pengganasan dijalankan untuk menggagalkan komplot pengganas untuk menjatuhkan sebuah pesawat udara,” Turnbull memberitahu para pemberita.

    “Ancaman pengganasan adalah sangat serius. Operasi gangguan ini, usaha semalaman sangat berkesan namun lebih banyak kerja dan usaha yang perlu dilakukan.”

    Para pegawai tidak menyatakan jika komplot yang dikatakan itu melibatkan penerbangan domestik atau antarabangsa, namun Daily Telegraph Sydney melaporkan laluan tempatan telah menjadi sasaran.

    Polis membantu menjalankan imbasan ke atas penumpang di Lapangan Terbang Sydney pada 30 Julai. Australia telah mematahkan rancangan pengganas yang berinspirasi Islamis untuk menjatuhkan pesawat dengan bahan letupan, kata pihak berkuasa selepas menangkap empat orang dalam serbuan di seluruh Sydney. – AFP
    Polis membantu menjalankan imbasan ke atas penumpang di Lapangan Terbang Sydney pada 30 Julai. Australia telah mematahkan rancangan pengganas yang berinspirasi Islamis untuk menjatuhkan pesawat dengan bahan letupan, kata pihak berkuasa selepas menangkap empat orang dalam serbuan di seluruh Sydney. – AFP

    Pesuruhjaya Polis Persekutuan Australia Andrew Colvin menyifatkan komplot itu sebagai ‘mendapat inspirasi daripada kumpulan Islam’ dengan menyatakan empat orang lelaki telah diberkas dalam siri-siri serbuan di seluruh Sydney semalam.

    “Kami percaya ia adalah pengganasan yang berilhamkan kumpulan Islam. Apakah sebenar di sebalik ini adalah sesuatu yang perlu disiasat sepenuhnya,” ujarnya.

    Colvin menambah kata pihak berkuasa tempatan telah menerima ‘maklumat yang boleh dipercayai daripada agensi-agensi rakan’ tentang dakwaan itu, tetapi tidak akan mengulas lebih lanjut atau menyatakan jika lelaki-lelaki itu dalam sebarang senarai pemerhatian.

    “Dalam beberapa hari kebelakangan, penguatkuasaan undang-undang telah mengetahui tentang maklumat yang mengatakan beberapa orang di Sydney sedang merancang untuk melakukan serangan pengganas dengan menggunakan bahan letupan improvisasi (IED),” dia memberitahu para pemberita.

    Dia menambah kata bahawa beberapa barangan ‘yang menjadi tumpuan polis’ telah dirampas dalam serbuan itu tetapi pihak polis belum mendapat banyak maklumat tentang serangan itu, lokasi, tarikh atau masa. Dia berkata siasatan dijangkakan mengambil ‘masa sangat panjang dan berterusan.”

    “Bagaimanapun, kami sedang menyiasat maklumat yang menunjukkan industri penerbangan berpotensi sasaran serangan itu.”

    Colvin tidak memberi butiran selanjutnya, namun Syarikat Penyiaran Australia (ABC) berkata polis menemui barangan yang mungkin boleh digunakan untuk membuat bom di salah sebuah rumah yang diserbu kelmarin.

    Pihak berkuasa percaya mereka merancang untuk menyeludup alat berkenaan ke dalam sebuah pesawat untuk meletupkannya, tambah ABC.

    Empat lelaki telah ditangkap kelmarin selepas polis bersenjata menyerbu rumah-rumah di keempat-empat buah kejiranan, walaupun nama dan umur mereka tidak dinyatakan dan mereka tidak didakwa oleh polis.

    Sementara itu, Seven Network turut melaporkan 40 pegawai skuad rusuhan bergerak ke sebuah rumah teres di sub bandar Surry Hills, ketika rakaman TV menunjukkan seorang lelaki dengan kepalanya berbalut telah diiringi keluar oleh pihak berkuasa, yang ditutup menggunakan selimut.

    Sebahagian jalan di sekitarnya masih lagi ditutup hari ini ketika para pegawai forensik dan penyiasat membungkus dan memindahkan barangan dari rumah berkenaan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda