SYDNEY, 24 NOV – Perbincangan sedang berlangsung antara Australia dan Indonesia untuk membawa pulang lima anggota kumpulan ‘Bali Nine’ yang masih menjalani hukuman penjara di Indonesia, kata Menteri Perdagangan Australia, Don Farrell.
Kesemua sembilan anggota kumpulan tersebut ditangkap pihak berkuasa Indonesia pada 2005 atas cubaan menyeludup lebih lapan kilogram heroin dari pulau percutian Bali. Kes itu menarik perhatian dunia terhadap undang-undang dadah Indonesia yang tegas, termasuk hukuman mati bagi kesalahan berat.
Dua daripada mereka, Andrew Chan dan Myuran Sukumaran, telah dihukum mati pada 2015 meskipun terdapat rayuan berulang daripada kerajaan Australia. Seorang lagi, Tan Duc Thanh Nguyen, meninggal dunia akibat kanser pada 2018, manakala Renae Lawrence dibebaskan selepas hukuman penjaranya dipendekkan pada tahun yang sama.
Lima anggota lain, iaitu Matthew Norman, Si Yi Chen, Michael Czugaj, Scott Rush, dan Martin Stephens, masih menjalani hukuman penjara di Indonesia. Norman, yang merupakan ahli paling muda yang berusia 18 tahun ketika ditangkap.
Menurut Farrell, jika rundingan berjaya, kelima-lima mereka akan meneruskan hukuman di Australia.
“Perbincangan ini masih berjalan. Mereka akan terus menjalani hukuman, tetapi di Australia. Kita akan lihat perkembangan dalam beberapa hari dan minggu akan datang,” katanya kepada Sky News Australia.
Sementara itu, Kementerian Luar Australia menyatakan pihaknya memberikan sokongan kaunseling kepada mereka dan keluarga serta terus memperjuangkan kepentingan mereka.
Indonesia, negara majoriti Muslim dengan undang-undang dadah yang ketat, sering menjatuhkan hukuman berat termasuk hukuman mati kepada pesalah dadah. Bali, destinasi pelancongan popular, kerap menjadi lokasi penahanan pelancong asing atas kesalahan berkaitan dadah. – AFP