Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Dayang Sunarti binti Haji Juman, yang mewakili suaminya, Awang Rozain bin Pungut ternyata memilih sampul bertuah apabila ia mengandungi hadiah utama pakej umrah bagi Kempen Ceria Together dalam acara cabutan bertuah yang berlangsung di Bilik Pameran Toyota Gadong, hari ini.
Hadir membuat cabutan dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pengurus Besar Jualan Kanan NBT, Leong Cheng Soon; Pengurus Kewangan Kanan, Leong Nyuk Yen dan Pengurus Pemasaran NBT-Toyota, Anderson Lim.
Pada acara itu, seramai 23 orang pelanggan bertuah yang terpilih sebagai finalis berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah merupakan tiket penerbangan dan elaun perjalanan termasuk hadiah utama berupa pakej percutian ke Switzerland atau pakej umrah.
Finalis berkenaan terpilih daripada cabutan yang dibuat di Bilik Pameran Toyota Gadong pada 20 April lalu dan disiarkan secara langsung melalui Instagram.
Cabutan utama dibuat dalam tiga pusingan di mana pada pusingan pertama, 10 finalis terpilih ke pusingan menentukan hadiah yang dimenangi mereka terdiri daripada tiket penerbangan seperti Singapura, Bangkok, Kota Kinabalu, Kuching dan Surabaya serta elaun perjalanan sebanyak $300 dengan hadiah para pemenang telah disampaikan oleh Anderson Lim.
Pada pusingan kedua pula, 10 orang lagi finalis terpilih dipelawa untuk membuat pilihan sampul ceria bagi menentukan hadiah yang dimenangi oleh mereka iaitu tiket penerbangan ke destinasi seperti Tokyo, Dubai, Perth, Jakarta, Hanoi dan Melbourne serta elaun perjalanan sebanyak $500 dengan hadiah para pemenang telah disampaikan oleh Leong Nyuk Yen.
Di pusingan terakhir, tiga orang finalis bertuah iaitu Awang Rozain yang diwakili oleh isterinya, Dayang Sunarti, Wong Koh Ping dan Dayang Siti Nuratika Sri Mu’minah binti Mohammaad Hadi Muslim membuat pilihan sampul masing-masing yang menentukan hadiah yang dibawa pulang.
Dayang Sunarti membuat pilihan yang tepat dengan memenangi hadiah utama kempen di mana beliau memilih untuk membawa pulang hadiah pakej umrah berserta elaun perjalanan sebanyak $3,000.
Sementara itu, hadiah kedua berupa penerbangan ke London dan elaun perjalanan sebanyak $2,000 dimenangi oleh Dayang Siti Nuratika Sri Mu’minah dan hadiah ketiga iaitu penerbangan ke Cappadocia berserta elaun perjalanan sebanyak $1,000 dimenangi oleh Wong Koh Ping.
Hadiah bagi pemenang tiga hadiah berkenaan telah disampaikan oleh Leong Cheng Soon.
Dayang Sunarti dalam temu bual ringkas bersama Media Permata menyatakan perasaan syukur kerana berpeluang untuk memenangi hadiah utama bagi kempen itu di mana ia merupakan suatu kemenangan yang tidak diduga dan rezeki bagi mereka.
Mengulas mengenai pilihan pakej umrah berkenaan, beliau berkata bahawa sebelum ini telah pernah mengerjakan umrah dan keinginan untuk sekali lagi menunaikannya.
Pengarah Urusan NBT (Brunei) Sdn Bhd, Haji Ahmad Omar bin Haji Husin dalam pesanannya menyatakan NBT amat gembira sekali lagi dapat mengadakan acara Cabutan Bertuah Raya seperti yang dilaksanakan bagi bertahun-tahun lamanya.
Beliau mengucapkan tahniah kepada semua pemenang khususnya pemenang pakej umrah bertuah serta menyatakan penghargaan kepada semua pelanggan yang terus memberikan sokongan yang kuat dan setia kepada mereka.
Kempen Ceria Together telah diadakan bermula 1 Mac hingga 15 April, di mana pelanggan yang membeli dan mendaftar mana-mana model Toyota baharu akan berpeluang untuk menyertai kempen berkenaan yang menawarkan sebanyak 23 hadiah pengembaraan dengan satu hadiah utama iaitu pilihan pakej umrah atau pakej percutian ke Switzerland dan 22 hadiah ke destinasi-destinasi penerbangan yang menarik disertakan dengan elaun perjalanan.