Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Ayam masak kurma kaya rempah

    Oleh Afiq Zainuddin –

    Ayam masak kurma merupakan hidangan yang sangat terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu, hidangan ini juga dipercayai hasil dari pengaruh masakan India cuma cara orang Melayu memasaknya lain sikit.

    Kekayaan rasa rempah yang memikat dan kelembutan daging ayam menjadikan hidangan ini sangat digemari oleh orang ramai.

    Ayam masak kurma ini bukan sekadar untuk memuaskan selera kitani bahkan ia juga hidangan yang paling mudah untuk disediakan.

    Hidangan ini biasanya boleh didapati apabila kita bertandang ke majlis perkahwinan dan acara keramaian. Yang mana masakan ini sangat sesuai untuk dijadikan salah satu hidangan istimewa untuk disajikan kepada tetamu dan merupakan antara sajian yang dicari selain ayam masak merah, ayam masak kicap dan lain-lain lagi. Ia sangat sedap apabila dimakan bersama nasi putih, sambal belacan dan ulam- ulaman. Ia juga sesuai dimakan bersama nasi dan sebagainya.

    BAHAN-BAHAN

    Berkongsi secara ringkas antara bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak ayam masak kurma ini terbahagi kepada beberapa bahagian. Yang pertama bahan untuk tumbuk halus adalah seperti bawang merah, bawang putih dan halia. Manakala bahan-bahan untuk bancuhan rempah adalah seperti rempah kurma dan sedikit air.

    Foto Canva
    Foto Canva
    Foto Canva
    Foto Canva
    Foto Canva
    Foto Canva

    Bahan-bahan yang diperlukan untuk ayam masak kurma adalah seperti ayam, kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, bunga cengkih, daun kari, lobak, kentang, santan cair, bawang besar, santan pekat, tomato, cili hijau dan cili merah yang dibelah dua, cili padi dan garam secukup rasa.

    CARA PENYEDIAAN

    Cara penyediaannya pula, mula-mula hiris kasar bawang putih, bawang merah dan halia lalu tumbuk halus dalam lesung batu. Selepas itu panaskan minyak dalam mangkuk kecil.

    Akan tetapi kita perlukan minyak secukupnya supaya rempah masak dengan sempurna.

    Kemudian tumis rempah empat sekawan iaitu bunga cengkih, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih.

    Selepas itu masukkan 1-2 daun kari. Wangi kalau kita masukkan daun kari dalam tumisan.

    Setelah itu masukkan bahan tumbuk halus dan kacau sehingga kekuningan dan naik bau.

    Masukkan bancuhan rempah kurma ke dalam kuali dan kacau sehingga rempah kering dan pecah minyak. Setelah kering masukkan sedikit air sampai rempah betul-betul masak.

    Kemudian masukkan ayam yang sudah dibersihkan. Selepas itu masukkan lobak dan kentang yang dipotong dadu besar, tambah satu mangkuk kecil santan cair. Kemudian masukkan bawang besar yang dibelah. Selepas itu masukkan tomato yang dibelah, cili merah, cili hijau dan lada padi. Masukkan sedikit air asam jawa dan perasakan dengan garam secukupnya kemudian ia pun sedia untuk dihidang. Selamat mencuba.

    Bahan-bahan:

    • Bahan-bahan untuk tumbuk halus:
    o 3 ulas bawang putih
    o 3 biji bawang merah
    o 2 inci halia

    • Bahan-bahan untuk bancuhan rempah:
    o 1 pek rempah kurma/ 3 sudu besar
    o sedikit air

    • Bahan-bahan untuk ayam masak kurma :
    o 1/2 ekor ayam
    o 1 batang kayu manis
    o 2 kuntum bunga lawang
    o 4 biji buah pelaga
    o 2 kuntum bunga cengkih
    o daun kari
    o 1 biji kentang
    o 1 mangkuk kecil santan cair
    o 1 biji bawang besar
    o 1 mangkuk kecil santan pekat
    o 1 biji tomato
    o 2 biji cili hijau, belah dua
    o 2 biji cili merah, belah dua
    o 3 biji cili padi
    o garam secukup rasa

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...