Penampilan pelakon Indonesia, Ayu Ting Ting di majlis perkahwinan pembantu peribadinya mendapat perhatian warganet apabila busana yang digayakan dituduh tidak menghormati acara.
Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, Ayu atau Ayu Rosmalina, 32, dilihat hadir ke majlis perkahwinan pembantunya dikenali sebagai Sarah bersama beberapa anggota keluarga lain.
Bagaimanapun gaun rona kuning bermotif floral yang digayakan oleh penyanyi berkenaan menjadi bualan warganet kerana dikatakan biadab dan dianggap seperti ingin berlibur ke pantai.
Tidak hanya Ayu, anggota keluarganya yang lain turut dipersoalkan kerana tampil dengan busana santai.
“Kenapa pakaian Ayu seperti mahu ke pantai? Pakaiannya seperti tidak menghormati pengantin.
“Walaupun barangan yang dipakai mahal, tapi sopan ke kalau pakai begitu di majlis kahwin orang begitu? Satu keluarga pula tu,” tulis warganet.
Bagaimanapun, memetik laporan mStar, seorang jurusolek turut meninggalkan komen di ruangan hantaran Instagram tersebut menjelaskan Ayu memang mahu ke pantai.
“Ayu memang mahu ke pulau. Saya yang solekkan pengantin. Jadi dia singgah sebentar ke majlis perkahwinan Sarah,” ujarnya. – Agensi