Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Azeem dikejar hingga ke AS

    KUALA LUMPUR, 14 FEB – Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) nampaknya akan ‘mengejar’ pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi sehingga ke Amerika Syarikat (AS). 

    Ia bagi membolehkan pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter dengan catatan 10.09 saat itu, mendapat pelepasan dari Universiti Auburn untuk beraksi di Sukan SEA Kemboja bermula 5 hingga 17 Mei ini. 

    Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KOM, Datuk Mark Ling berkata beliau sendiri akan terbang ke AS untuk mengadakan perbincangan dengan pihak universiti untuk membolehkan Muhammad Azeem beraksi di Phnom Penh.

    “Ia bukan dalam tempoh pertandingan, jadi universiti akan menentukan jika dapat membenarkan Azeem mengambil bahagian dalam Sukan SEA.

    “Saya fikir perkara terbaik untuk dilakukan, saya perlu terbang ke sana dan bercakap secara peribadi, Saya sedang mengatur perjalanan ke AS, menjelang Mac,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa pemilihan Sukan SEA di Wisma OCM hari ini. 

    KOM mahu Azeem Fahmi untuk menyertai acara olahraga di Sukan SEA Kemboja pada tahun ini. – Agensi

    Muhammad Azeem yang tiba di Universiti Auburn di Alabama pada 4 Januari lepas untuk melanjutkan pelajaran sambil menjalani latihan di sana, mempunyai komitmen bersama universiti ketika temasya Sukan SEA berlangsung. 

    Sejak tiba di sana, pelari berusia 19 tahun itu sudah memecahkan rekod kebangsaan 60 meter dalam dewan sebanyak dua kali, dengan catatan terbaharu 6.62 saat pada Kejohanan Jemputan Tiger Paw di University Clemson di Carolina Selatan, hujung minggu lepas. 

    Sementara itu, ditanya mengenai status pelantikan ketua jurulatih baharu, Mark berkata pihaknya masih bekerja rapat dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam menyelesaikan beberapa proses sebelum mengesahkan pelantikan tersebut. 

    Kontrak Mohd Manshahar Abdul yang menggalas tanggungjawab berkenaan sejak 2019, dilaporkan telah tamat pada hujung tahun lepas. 

    Bekas atlet lompat jauh dan lompat kijang, Zaki Sadri antara nama yang dilaporkan sebagai pengganti Mohd Mansahar. – Bernama

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...