MANILA, 2 DIS – Selepas enam tahun menanti untuk meraih pingat di Sukan SEA, atlet angkat berat negara Muhamad Aznil Bidin, akhirnya berjaya melihat kilauan gangsa.
Badang berusia 25 tahun dari Kedah itu, berjaya meraih podium dalam kategori 61kg lelaki selepas melakukan angkatan sejumlah 283kg di Stadium Ninoy Aquino, di sini.
Juara Sukan Komanwel 2018 itu, panas lambat apabila gagal dalam percubaan pertama bagi snatch untuk bebanan 123kg, tetapi berjaya mengangkat bebanan sama pada percubaan kedua dan 126kg pada percubaan ketiga. Bagi clean and jerk pula, beliau berjaya mengangkat 157 pada percubaan pertama, tetapi gagal dalam cubaan untuk mengangkat 161kg dalam dua angkatan seterusnya.
Lawannya juga bukan calang-calang orang, apabila emas dimenangi pemenang perak Sukan Olimpik Rio 2016 Eko Yuli Irawan, dari Indonesia dan Perak menjadi milik Juara Dunia 2017, Thach Kim Tuan dari Vietnam. Eko melakukan angkatan sejumlah 309kg (140kg + 169kg), manakala Kim mengangkat 304kg (135kg + 169kg). – Bernama