Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baginda Sultan akan berangkat ke Bangladesh

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat ke Dhaka, Republik Rakyat Bangladesh bagi Keberangkatan Negara pada 15 dan 16 Oktober ini.

    Keberangkatan Baginda adalah atas jemputan Presiden Republik Rakyat Bangladesh, Tuan Yang Terutama Mohammad Abdul Hamid dan Perdana Menteri Republik Rakyat Bangladesh, Puan Yang Terutama Sheikh Hasina, yang merupakan keberangkatan pertama Baginda ke negara tersebut.

    Semasa keberangkatan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia akan mengadakan perjumpaan bersama kedua-dua pemimpin tersebut dan membincangkan beberapa perkara berkaitan usaha meningkatkan hubungan dua hala.

    Pemimpin kedua-dua buah negara tersebut juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa.

    Baginda juga akan menghadiri Majlis Sambutan Rasmi dan Majlis Santap Negara yang dihoskan oleh presiden.

    Hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat Bangladesh mula dijalin pada 5 Mei 1984.

    Sejak itu, terdapat pel-bagai pertukaran lawatan di peringkat menteri dan pegawai kanan kedua-dua buah negara.

    PYT Sheikh Hasina telah mengadakan lawatan ke Brunei Darussalam pada 21 hingga 23 April 2019.

    Negara Brunei Darussalam juga telah menerima lawatan daripada mantan Perdana Menteri Bangladesh pada tahun 2004, serta menteri-menteri Bangladesh yang berlainan pada 1994, 1999, 2012 dan 2013.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda