Monday, May 12, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baginda Sultan akan berangkat ke sidang kemuncak 12 Mei

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) yang bakal berlangsung pada 12 dan 13 Mei depan di Washington D.C., AS.

    Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan yang dikeluarkan kelmarin menjelaskan, sidang kemuncak khas tersebut akan dipengerusikan bersama oleh Presiden AS, Tuan Yang Terutama Joseph R. Biden Jr. dan Perdana Menteri kerajaan Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen selaku pengerusi ASEAN.

    Semasa sidang kemuncak khas tersebut, para pemimpin ASEAN-AS dijangka akan membincang-kan mengenai mengukuhkan perkongsian antara ASEAN dan AS, serta meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk tindak balas COVID, pendidikan, hubungan di antara penduduk serta kesalinghubungan.

    Pemimpin juga dijangka akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

    Sidang kemuncak khas berkenaan akan memperingati 45 tahun hubungan ASEAN-AS dan diharapkan akan mengukuhkan hubungan dan meningkatkan lagi kerjasama yang bermanfaat kepada kedua-dua pihak, serta mengalu-alukan komitmen berterusan AS terhadap ASEAN Centrality.

    Selain itu, ia juga akan bertumpu pada keberhasilan Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-9 yang telah bersidang semasa Negara Brunei Darussalam menjadi pengerusi ASEAN pada 2021.

    Dialog ASEAN-AS bermula pada 1977 dan seterusnya hubungan di antara ASEAN dan AS dinaik taraf ke perkongsian strategik pada 2015.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda