Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, akan berangkat ke London, United Kingdom (UK) bagi menghadiri Istiadat Pertabalan bagi His Majesty King Charles III, King of the United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland dan Her Majesty the Queen Consort.
Istiadat Pertabalan bagi His Majesty King Charles III, yang akan berlangsung di Westminster Abbey, London pada 6 Mei juga dijangka akan dihadiri oleh ahli-ahli kerabat diraja serta ketua-ketua negara dan kerajaan dari seluruh dunia.
Hubungan rapat antara kedua-dua kerabat diraja itu dapat dilihat melalui beberapa siri lawatan lepas termasuk keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengadakan perjumpaan dengan His Majesty King Charles III di UK pada 14 Disember 2022, dan lawatan His Majesty King Charles III ke Negara Brunei Darussalam pada 2 November 2017.
Hubungan persahabatan dan kerjasama yang terjalin lama antara Negara Brunei Darussalam dan UK, di mana kedua-dua negara bekerjasama dalam bidang pertahanan dan pendidikan, terus menjadi asas dalam mencapai kesejahteraan dan kemakmuran bersama bagi rakyat dan kedua-dua buah negara.
Selepas Istiadat Pertabalan His Majesty King Charles III itu nanti, Kebawah Duli Yang Maha Mulia akan berangkat ke Labuan Bajo, Republik Indonesia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 yang bakal berlangsung pada 10 dan 11 Mei nanti.
Sidang kemuncak tersebut akan dipengerusikan oleh Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Joko Widodo, selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini juga akan disertai oleh para pemimpin ASEAN lainnya.
Di bawah tema ASEAN Matters: Epicentrum of Growth, Republik Indonesia akan memfokuskan usaha untuk mengukuhkan ASEAN ke arah sebuah rantau ekonomi yang cepat berkembang, inklusif dan mampan, dengan membangunkan seni bina kesihatan serantau yang kukuh, mempertahankan keselamatan makanan dan tenaga serta kestabilan kewangan.
Di samping itu, Republik Indonesia juga berhasrat untuk meningkatkan kapasiti dan keberkesanan institusi ASEAN agar dapat memberikan tindak balas terhadap cabaran-cabaran masa depan dan untuk ASEAN menjadi lebih adaptasi, responsif dan berdaya saing.