Oleh Syahmi Hassan –
PARIS, 13 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, semalam berangkat tiba di Paris bagi mengadakan Keberangkatan Rasmi ke Republik Perancis selama dua hari bermula hari ini.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Lapangan Terbang Paris Orly dijunjung oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Benard Regnauld-Fabre; dan Deputy Prefect of Airport Security, Benoit Pichard-Morillon.
Juga hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Perancis, Puan Yang Terutama Datin Paduka Hajah Rakiah binti Haji Abdul Lamit @ Hamid.
Keberangkatan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia itu adalah atas jemputan Presiden Republik Perancis, Tuan Yang Terutama Emmanuel Macron.
Negara Brunei Darussalam dan Republik Perancis telah menubuhkan hubungan diplomatik pada Mei 1984 dan sejak itu, kedua-dua buah negara mempunyai kerjasama yang luas dalam bidang ekonomi, tenaga, pertahanan, pendidikan dan kebudayaan.
Kali terakhir Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat ke Republik Perancis bagi Keberangkatan Rasmi adalah pada 2008.