Thursday, December 19, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baginda Sultan berangkat tiba di Turkiye

    Oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto

    ANKARA, REPUBLIK TURKIYE, 6 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat tiba di Ankara, Republik Turkiye bagi mengadakan Keberangkatan Negara sehingga 9 Mac.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Lapangan Terbang Esenboga dialu-alukan oleh Menteri Perindustrian dan Teknologi Republik Turkiye, Tuan Yang Terutama Mustafa Varank.

    Juga hadir bagi menjunjung keberangkatan ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Turkiye, Tuan Yang Terutama Mohammad Shafiee bin Haji Kassim.

    Terdahulu, sebelum berangkat dari Istana Nurul Iman, Doa Selamat dibacakan oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

    Berangkat di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

    Berangkat sama dan hadir ialah pengiran-pengiran cheteria, Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja, menteri-menteri kabinet, timbalan-timbalan menteri, pesuruhjaya polis dan pemangku pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

    Hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Turkiye telah dijalin pada 27 Jun 1984 dan sejak itu, kedua-dua buah negara mempunyai kerjasama yang meluas dalam pelbagai bidang seperti perdagangan dan pelaburan, pendidikan, kebudayaan, dan pertahanan.

    Keberangkatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Republik Turkiye berkenaan mengesahkan semula hubungan dua hala yang mesra antara Negara Brunei Darussalam
    dan Republik Turkiye, dan seterusnya mempromosikan kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua buah negara.

    Kali terakhir Baginda berangkat ke Republik Turkiye bagi Keberangkatan Negara adalah pada 7 hingga 11 April 2012.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima junjung ziarah sejurus keberangkatan tiba di tempat persemayaman di Republik Turkiye.- Gambar oleh infofoto
    Keberangkatan tiba KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dijunjung oleh TYT Mustafa Varank dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan.
    Doa Selamat dibacakan sebelum Baginda Sultan dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berangkat meninggalkan Istana Nurul Iman.
    Baginda Sultan berkenan melambaikan tangan sebelum berangkat memasuki pesawat.
    BagindaSultan berangkat tiba di Lapangan Terbang Esenboga, Republik Turkiye.
    Baginda Sultan berkenan memeriksa kawalan kehormatan sejurus keberangkatan tiba di Lapangan Terbang Esenboga, Republik Turkiye.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berangkat di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Baginda Sultan.
    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim membacakan Doa Selamat sebelum meninggalkan Istana Nurul Iman.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda