Saturday, December 28, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baginda Sultan, PM S’pura tekan hubungan kukuh dua negara

    Gambar oleh Infofoto

    REPUBLIK SINGAPURA, 25 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berangkat mengadakan Majlis Perjumpaan bersama Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dato Laila Utama Lee Hsien Loong.

    Pada majlis yang diadakan di Hotel St Regis itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama saling menekankan hubungan kukuh yang sekian lama terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura serta kerjasama antara kedua-dua buah negara melalui pemeteraian empat memorandum persefahaman dalam bidang perkhidmatan awam, pendidikan, ekonomi hijau dan keselamatan makanan.

    Kedua-dua pemimpin juga berbincang mengenai peluang-peluang kerjasama baharu yang dapat diterokai oleh kedua-dua buah negara.

    Pada majlis berasingan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Tentera Udara Republik Singapura di Pangkalan Udara Sembawang.

    Keberangkatan tiba Baginda dialu-alukan oleh Menteri Pertahanan, Republik Singapura; Tuan Yang Terutama Dr Ng Eng Hen; Chief of Defense Force, Angkatan Bersenjata Republik Singapura, Leftenan Jeneral Melvyn Ong; dan Chief of Air Force, Tentera Udara Republik Singapura, Mejar Jeneral Kelvin Khong.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama-sama TYT Dr Ng Eng Hen kemudiannya beredar untuk menerima tabik hormat dan seterusnya memeriksa barisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Tentera Udara Republik Singapura.

    Seterusnya, Baginda berkenan mendengar sembah taklimat mengenai perkembangan Tentera Udara Republik Singapura serta pemodenan kelengkapan pertahanan udara seperti helikopter H225M Medium Lift.

    Baginda kemudian berkenan menaiki helikopter H225M yang merupakan sebuah helikopter serba moden yang memenuhi keperluan operasi Tentera Udara Republik Singapura dalam operasi mencari dan menyelamat, pemindahan aeromedical, dan operasi bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana.

    Pada penghujung lawatan tersebut, Baginda berkenan mendengar sembah taklimat mengenai sistem peluru berpandu Aster 30 yang merupakan sistem pertahanan udara yang telah diintegrasikan ke dalam Sistem Pertahanan Udara Pulau, Tentera Udara Republik Singapura.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan menaiki helikopter H225M yang merupakan sebuah helikopter serba moden yang memenuhi keperluan operasi Tentera Udara Republik Singapura dalam operasi mencari dan menyelamat, pemindahan aeromedical dan lainnya ketika mengadakan lawatan ke Tentera Udara Republik Singapura di Pangkalan Udara Sembawang. Turut hadir Menteri Pertahanan, Republik Singapura, TYT Dr Ng Eng Hen.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengadakan pertemuan bersama TYT Dato Laila Utama Lee Hsien Loong.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan memeriksa barisan kawalan kehormatan semasa berangkat mengadakan lawatan ke Tentera Udara Republik Singapura di Pangkalan Udara Sembawang.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung bergambar ramai semasa keberangkatan di Pangkalan Udara Sembawang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda