Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Baginda Sultan utus tahniah

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, telah berkenan menghantar perutusan tahniah kepada Sultan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar bersempena dengan pengisytiharan Baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-17.

    Dalam titah perutusan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyampaikan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim atas pengisytiharan Baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-17.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menzahirkan kegembiraan terhadap ikatan persaudaraan yang erat dan mesra yang sekian lama terjalin di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia serta kerjasama dua hala yang aktif merangkumi pelbagai bidang berkepentingan bersama.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya yakin di bawah kepimpinan Baginda, hubungan yang bermakna ini akan terus dipupuk dan diperkukuhkan lagi demi kemanfaatan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua buah negara.

    Pada mengakhiri titah perutusan tersebut, Baginda berserta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah serta kerabat diraja sentiasa berada dalam keadaan sihat wal’afiat dan sentiasa dalam pemeliharaan Allah SWT.

    GAMBAR SERAHAN JPM
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...