Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Bank Baiduri telah meneruskan lagi inisiatif Let’s Give Back This Ramadan dengan acara membeli-belah dan sungkai bersama keluarga dari Daerah Temburong, kelmarin.
Acara itu berlangsung di Gedung Perniagaan Hua Ho, Pusat Membeli-belah One City, di mana sukarelawan dari Bank Baiduri mengatur aktiviti membeli-belah untuk 10 buah keluarga kurang berkemampuan dari Daerah Temburong.
Keluarga tersebut dikenal pasti melalui Kementerian Pendidikan, dan atas semangat kerjasama, Bank Baiduri juga meneruskan perkongsiannya dengan Setia Motors sebagai rakan logistik untuk acara tersebut.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, inisiatif tahun ini dianjurkan melalui Baiduri Cares, program dalaman di mana kakitangan Bank Baiduri dan anak-anak syarikatnya digalakkan untuk mendedikasikan masa dan tenaga mereka dalam pelbagai aktiviti sukarelawan.
Hadir untuk membeli-belah bersama sukarelawan ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan, Tadbir Urus Korporat dan Sokongan Undang-undang), Manuel Bulens yang bercakap tentang budaya kesukarelawanan dalam inisiatif seluruh kumpulan bank berkenaan seperti Let’s Give Back This Ramadan.

“Program Baiduri Cares menggalakkan kakitangan kami untuk memberi kembali kepada masyarakat dan inisiatif Let’s Give Back This Ramadan adalah salah satu daripada banyak acara sukarela yang Bank Baiduri ada dalam perancangan tahun ini.
“Sukarelawan menawarkan peluang kepada warga kami untuk memberi kembali kepada mereka yang memerlukan dan memberi impak positif kepada masyarakat melalui pelaburan masa, kemahiran dan usaha mereka,” ujarnya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Urusan Baiduri Finance, Haji Haliluddin bin Dato Seri Paduka Haji Talib; Ketua Perbankan Korporat, Leonard Lee, dan Ketua Bahagian Maklumat dan Teknologi Kumpulan, Simon Hansman.
Kini memasuki tahun ketujuh, inisiatif berkenaan adalah siri acara yang bertujuan untuk membawa keceriaan perayaan kepada keluarga kurang berkemampuan di negara ini sebagai persiapan menyambut Hari Raya.
Acara terakhir akan diadakan pada 19 April ini di Gedung Perniagaan Hua Ho, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di ibu negara bersama keluarga kurang berkemampuan dari Daerah Brunei dan Muara.

