BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Sebagai usaha mendukung hasrat negara dalam memberikan kesedaran mengenai pentingnya menabung di usia muda, Bank Baiduri tidak ketinggalan memeriahkan Hari Menabung Kebangsaan 2019 Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dengan mengadakan beberapa aktiviti menarik di seluruh negara.
Penglibatan Bank Baiduri bermula dengan penyertaan semasa Jerayawara Kesedaran Kewangan di Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB). Antara matlamat jerayawara tersebut adalah bagi melengkapkan para pelajar universiti dengan kemahiran pengurusan kewangan serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam pengurusan kewangan secara keseluruhan.
Kemuncak acara tersebut adalah Pesta Ria Kewangan yang diadakan di Taman Permainan Jerudong baru-baru ini. Dengan membawa tema Fusion of Green and Technology, Bank Baiduri menawarkan pelbagai permainan dan aktiviti menarik untuk disertai oleh orang ramai, yang mana acara tersebut menekankan kepentingan dan memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai transaksi kewangan harian dan membuat keputusan.
Bercakap mengenai penyertaan Bank Baiduri pada acara tersebut, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Perbankan Runcit Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha, berkata, “Ini adalah tahun keempat berturut-turut Bank Baiduri menyertai inisiatif Hari Menabung Kebangsaan AMBD.
Celik kewangan adalah penting bagi semua peringkat umur.
Daripada konsultasi percuma hingga aktiviti yang seronok dan interaktif, kami harap penyertaan kami dapat merangsang kesedaran kewangan dalam kalangan orang awam.”
Hari Menabung Kebangsaan merupakan salah satu cara untuk Bank Baiduri menunjukkan sokongannya dalam inisiatif negara bagi mempromosi budaya menyimpan. Bank Baiduri juga merupakan penyokong kuat keraian Minggu Wang Global dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini. Bahkan pasukan perancang kewangan peribadi juga aktif dalam usaha meningkatkan kesedaran ramai mengenai kepentingan menabung dan pembajetan khususnya kepada para pelajar dan kakitangan di sekolah-sekolah serta agensi-agensi swasta di Brunei.
