Henry Golding disebut-sebut akan membintangi filem adiwira G.I Joe.
Memetik laporan The Hollywood Reporter, Golding yang merupakan pelakon kelahiran Malaysia itu adalah calon utama untuk membawakan watak Snakes Eyes dalam francais terbaharu filem itu.
Watak Snake Eyes merupakan seorang komando ninja yang berpakaian serba hitam, tidak pernah bersuara dan menunjukkan mukanya. Snake Eyes juga sangat handal berlawan dan sering menjayakan misi tempurnya secara solo.
Perkara itu menjadi bualan di laman sosial Twitter dan peminat pula berkongsi pelbagai reaksi dengan kesahihan desas-desus itu.
Ada yang berpendapat anak kacukan Iban-Inggeris itu tidak sesuai membawakan watak itu kerana Snake Eyes merupakan orang Caucasian yang dibesarkan oleh keluarga Jepun.
Selain itu, ada juga yang melihat bakat yang dimilki Golding itu seperti dipersia-siakan kerana watak Snake Eyes tidak bercakap dan memakai topeng hitam.
Syarikat penerbitan filem gergasi Paramount telah menghasilkan dua filem G.I Joe iaitu G.I Joe: The Rise of Cobra (2009) dan G.I Joe Retaliation (2013).
Terdahulu, pelakon akrobatik Ray Park melakonkan watak Snake Eyes untuk kedua-dua filem itu. Golding yang sedang melakar nama di Hollywood, juga pernah dilaporkan bakal membintangi filem James Bond 007.
Pelakon berdarah kacukan Inggeris-Iban itu, mula mencipta kemasyhuran di Hollywood selepas filem lakonannya, Crazy Rich Asians mencetus fenomena di seluruh dunia pada 2018. – Agensi
