Sempena meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-10, Seeds Brunei telah mengungkayahkan sebuah teater muzikal istimewa yang bertajuk ‘Mystery of The Opera’ yang diadakan baru-baru ini di Dewan Di-Gadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan sukan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.
Seramai seratus penonton menyaksikan persembahan teater tersebut yang berlangsung sehingga kelmarin.
Pementasan ini merupakan salah satu aktiviti Brunei Disember Festival 2019, yang disokong oleh KKBS dan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.
Pementasan teater selama dua jam ini diarahkan oleh jurulatih Seeds Brunei, Dayang Ammellia@Khadiza binti Mohd Amin dan berdasarkan kepada muzikal Broadway terkenal, ‘The Phantom of The Opera’. Persembahan teater itu menyaksikan 10 pelakon dalam babak pertama dan sembilan pula di babak yang kedua.


Pementasan teater ini mengisahkan tentang kekecohan yang berlaku di Paris Opera House pada akhir tahun 1880.
Paris Opera House bergelut dengan pelbagai misteri dan tragedi yang datang dari sebuah karakter enigma yang dikenali sebagai ‘Phantom’ yang sering dipersendakan, dihina dan dibenci disebabkan wajahnya yang kurang elok.
Sejarah Seeds Brunei
Selama Seeds Brunei bergiat semenjak tahun 2009, persatuan ini telah menarik minat lebih dari 1,000 penuntut dan sukarelawan serta menghiburkan lebih ribuan penonton.
Seeds sangat berbangga melihat usaha dan pencapaian sukarelawan-sukarelawan yang terdiri dari penuntut-penuntut sekolah-sekolah menengah dan maktab-maktab.
Mereka telah bekerja keras dan menunjukkan komitmen yang tinggi pada pementasan yang lepas dan telah bertahan serta masih lagi aktif bergiat di dalam Seeds kemudian menjadi jurulatih bagi generasi penuntut-penuntut Seeds yang baharu atau lebih mesra dikenali sebagai Seedlings.