KUALA LUMPUR, 3 DIS – Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh meminta orang ramai untuk memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyelesaikan siasatan terhadap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum membuat sebarang spekulasi.
Hannah berkata siasatan itu adalah prosedur operasi standard dalam mana-mana organisasi apabila seseorang membuat aduan kepada agensi antirasuah, bukan hanya dalam persatuan sukan.
“Badan penyiasat akan masuk setiap kali menerima aduan daripada seseorang, tetapi selagi penyiasatan belum selesai, terlalu awal untuk mengulas mengenainya. Jangan kita membuat spekulasi dan berlaku adil kepada BAM sementara kita menunggu keputusan SPRM. BAM ialah satu persatuan sukan yang diuruskan dengan baik, ia telah wujud sejak sekian lama. Saya pasti SPRM akan menemui dokumen-dokumen dan semua di tempat yang betul,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan kad debit khas Visa CIMB untuk membantu kanak-kanak palsi serebrum, di sini hari ini.
Terdahulu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah hadir ke pejabat badan induk itu di Kuala Lumpur minggu lepas, untuk mendapatkan maklumat tertentu. BAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada pegawai-pegawai SPRM yang telah menjalankan tugas mereka secara profesional.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan maklumat daripada individu yang tidak diketahui telah mencetuskan siasatan terhadap dakwaan seorang pegawai tertinggi BAM menerima elaun tambahan tanpa kelulusan lembaga, yang berkemungkinan melanggar undang-undang antirasuah. – Bernama