Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Banci majikan, pekerja secara dalam talian

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) akan melaksanakan Banci Tahunan Majikan/Pekerja, Gaji, Pendapatan dan Jam Bekerja bagi Tahun 2023 menggunakan kaedah dalam talian melalui Brunei Reporting System (BRS).

    Sehubungan itu, jabatan tersebut memohon kerjasama semua entiti perniagaan, institusi swasta, koperasi, persatuan, kelab dan badan-badan berkanun di sektor swasta yang beroperasi di Negara Brunei Darussalam, sama ada yang mempunyai Lesen Pekerja Asing (LPA) ataupun yang hanya menggaji tenaga kerja yang terdiri daripada anak-anak tempatan (tiada pekerja asing) dan masih berkhidmat sehingga atau pada 30 Oktober, supaya memberikan dan melengkapkan maklumat pekerja (tempatan dan asing) termasuk majikan, pemilik dan pengurus di bawah tanggungan ke dalam borang banci yang disediakan di laman sesawang www.business.mofe.gov.bn/SitePages/OBR.aspx.

    Walau bagaimanapun, perkhidmatan rumah tangga atau persendirian adalah dikecualikan daripada melengkapkan maklumat banci berkenaan.

    Maklumat banci bolehlah dilengkapkan melalui kaedah dalam talian di laman sesawang dengan menggunakan nama pendaftaran (username) majikan, pemilik atau pengurus yang diperolehi melalui pendaftaran e-Darussalam.

    Tatacara melengkapkan maklumat banci boleh dimuat turun dari laman sesawang www.business.mofe.gov.bn/SitePages/OBR.aspx atau www.labour.gov.bn

    Manakala itu, maklumat banci yang telah dilengkapkan hanya akan dapat diterima melalui dalam talian sahaja bermula 31 Oktober dan tarikh akhir penerimaan maklumat banci pada 30 November.

    Ini adalah bagi mengelakkan penyalahgunaan maklumat sulit banci oleh pihak ketiga yang telah diamanahkan untuk melengkapkan maklumat banci mereka.

    Banci tahunan berkenaan adalah mengikut Peruntukan Akta Maklumat Pekerjaan 1974, Penggal 99 di bawah Seksyen 3(1) dan mana-mana majikan yang sengaja tidak mematuhi arahan tersebut boleh didenda sebanyak $2,500 dan penjara enam bulan dan jika berterusan denda sebanyak $50 sehari akan dikenakan.

    Sementara itu, resit Penyata Banci Majikan/Pekerja 2022 yang telah dikeluarkan bagi Banci Tahunan Majikan/Pekerja 2022 adalah dimansuhkan dan tidak dapat digunakan lagi mulai 31 Oktober ini.

    Untuk keterangan lanjut, rujuk ke Kaunter Perkhidmatan Kajian dan Perangkaan, Ruang Legar Tingkat Bawah, Ibu Pejabat Jabatan Buruh, Jalan Dewan Majlis Negara Brunei Darussalam di talian 2383006 atau 2380256 sambungan 1104, 4503 dan 4504 atau e-mel kepada banci.buruh@buruh.gov.bn atau laman sesawang http://www.labour.gov.bn
    Manakala itu, kaunter perkhidmatan akan beroperasi Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 8 pagi hingga 11:30 pagi dan 1:45 petang hingga 3:30 petang, tidak termasuk semasa cuti awam.

    Gambar Freepik

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...