Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Iktiraf peranan AHP dalam penjagaan kesihatan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali daripada mengalami trend global penuaan di mana pada 2001, peratusan penduduk negara yang berusia 65 tahun dan ke atas telah meningkat daripada 2.8 peratus kepada 3.5 peratus pada 2011 serta terus meningkat dengan cepat kepada 6.3 peratus pada 2021.

    Peratusan peningkatan penduduk negara yang berusia 65 tahun dan ke atas itu dikongsi oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam ucapannya pada Simposium Profesion Kesihatan Bersekutu 2023 yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Terdahulu, beliau menyatakan bahawa dengan perkembangan teknologi sains dan inovasi baharu dalam dunia perubatan dan penjagaan kesihatan, warga manusia kini berupaya untuk hidup lebih lama dan disebabkan itu, terdapat peningkatan dalam penduduk warga tuan di serata dunia tahun demi tahun.

    Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Laporan Sosial Dunia 2023, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan jumlah penduduk warga tua yang berusia 65 tahun dan ke atas akan meningkat daripada 761 juta pada 2021 kepada lebih dua kali ganda iaitu kira-kira 1.6 bilion pada 2050.

    Yang Berhormat Dato seterusnya berkata seperti yang dimaklumi, dalam penuaan terdapat juga perubahan fisiologi kepada tubuh badan di mana perubahan itu akan menjejas keupayaan fizikal dan mental warga emas serta juga akan membawa kepada pengurangan keupayaan fungsi mereka secara keseluruhan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan ucapannya semasa Simposium Profesion Kesihatan Bersekutu 2023, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Sebagai contoh, jelasnya, seorang pesakit warga emas mengalami komplikasi klinikal kronik dengan isu kesihatan yang lebih kompleks, terdapat lebih banyak penglibatan daripada beberapa profesional kesihatan bersekutu (AHP) dalam pengurusan kes
    berkenaan.

    Oleh itu, peranan yang dimainkan oleh berbagai-bagai AHP berkenaan dalam menangani isu-isu perubatan, fisiologi, sosial dan sosioekonomi mempunyai kesan kepada kesejahteraan dan kesihatan warga emas berkenaan.

    Dalam hubungan itu, Kementerian Kesihatan komited kepada menyokong usaha AHP dalam menjadi tenaga kerja yang khusus melalui latihan klinikal. Sejak 2013, terdapat 26 AHP yang dianugerahkan latihan lepasan graduan dalam perkhidmatan di dalam bidang masing-masing.

    Bagi memupuk lagi budaya pertukaran pengetahuan dan pembaikan berterusan, jawatankuasa pembangunan dan latihan AHP terus tekun secara aktif memudahkan penglibatan pakar-pakar antarabangsa untuk memperkaya tenaga kerja AHP Kementerian Kesihatan.

    Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa baru-baru ini, kementerian telah menghoskan Bengkel Cognitive Behavior Therapy yang dikendalikan oleh CBT Australia di mana ia merupakan sebagai satu contoh komitmen berterusannya untuk menyediakan kemahiran dan peralatan yang diperlukan oleh AHP supaya mereka dapat kekal cemerlang dalam peranan mereka.

    Pendekatan kerjasama dan inisiatif latihan berterusan itu, membuktikan pendirian Kementerian Kesihatan untuk memperkasa AHP untuk menawarkan perkhidmatan dan penjagaan yang berkualiti tinggi kepada warga yang di bawah penjagaan mereka.

    Yang Berhormat Dato menyatakan penghargaan dan pengiktirafan kepada peranan penting yang dimainkan oleh AHP dalam sistem penjagaan kesihatan.

    Sehubungan itu, Skim Perkhidmatan bagi AHP telah dijadikan sebagai satu keutamaan dan termasuk dalam projek inisiatif strategik Kementerian Kesihatan. Beliau berkata bahawa skim berkenaan telah dicadangkan dan dihadapkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dengan Kementerian Kesihatan secara aktif terlibat dalam perbincangan dua hala bersama pihak-pihak berkepentingan utama.

    Beliau menyatakan, menjadi harapan bahawa skim itu akan membuahkan hasil di mana ia akan memperkasakan lagi tenaga kerja, memudahkan perkembangan kerjaya serta
    memberikan pengiktirafan yang sewajarnya kepada profesional berdedikasi berkenaan.

    Pengiktirafan seumpama ini, tekannya, merupakan elemen kritikal dalam menjana pengekalan dan merangsang permintaan bagi generasi muda untuk berkecimpung dalam kerjaya kesihatan bersekutu sebagai kerjaya mereka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...