Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banci tahunan majikan, pekerja bermula 31 Oktober

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri akan melaksanakan Banci Tahunan Majikan dan Pekerja, Gaji, Pendapatan dan Jam Bekerja Bagi Tahun 2025 selama sebulan bermula 31 Oktober hingga 30 November ini.

    Menurut kenyataan yang diterima, Jabatan Buruh memohon kerjasama semua entiti perniagaan, institusi swasta, koperasi, persatuan, kelab dan badan-badan berkanun di sektor swasta yang beroperasi di Negara Brunei Darussalam, sama ada yang mempunyai Lesen Pekerja Asing (LPA), ataupun yang hanya menggaji tenaga kerja tempatan (tanpa pekerja asing) kecuali bagi perkhidmatan domestik atau persendirian, untuk memberikan dan melengkapkan maklumat para pekerja (tempatan dan asing), termasuk majikan, pemilik atau pengurus, yang masih berkhidmat dengan entiti perniagaan, institusi swasta, koperasi, persatuan, kelab dan badan-badan berkanun berkenaan sehingga
    30 Oktober ini melalui laman sesawang www.business.mofe.gov.bn/SitePages/OBR.aspx.

    Pengguna hendaklah menggunakan akaun e-Darussalam yang berdaftar atas nama majikan, pemilik atau pengurus atau mana-mana individu yang diberi kuasa oleh majikan, pemilik atau pengurus.

    Panduan tatacara pengisian maklumat banci juga boleh dimuat turun melalui pautan yang sama atau menerusi laman sesawang rasmi Jabatan Buruh di www.labour.gov.bn dan pautan Business Reporting System (BRS).

    Pihak majikan, pemilik atau pengurus disarankan untuk melengkapkan sendiri maklumat banci bagi entiti perniagaan, institusi swasta, koperasi, persatuan, kelab dan badan-badan berkanun masing-masing bagi mengelakkan risiko penyalahgunaan maklumat sulit banci oleh pihak ketiga yang mungkin diamanahkan untuk melengkapkan maklumat berkenaan.

    Resit Penyata yang telah dikeluarkan bagi Banci Tahunan Majikan dan Pekerja 2024 akan mansuh dan tidak lagi sah selepas 30 Oktober.

    Di bawah Peruntukan Akta Maklumat Pekerjaan 1974, Penggal 99 di bawah Seksyen 3 (1), semua majikan dikehendaki melengkapi borang Banci Tahunan Majikan dan Pekerja, Kadar Gaji Pendapatan dan Jam Bekerja.

    Menurut Seksyen 8 (1) dalam akta berkenaan, mana-mana majikan yang sengaja menolak atau mengabaikan untuk memberikan butir-butir atau maklumat yang diperlukan pada masa yang dibenarkan atau dengan sengaja memberikan butir-butir atau maklumat palsu; atau enggan menjawab atau dengan sengaja memberikan jawapan palsu dalam soalan yang perlu untuk mendapatkan apa-apa maklumat atau butir-butir yang dikehendaki di bawah akta berkenaan, adalah melakukan satu kesalahan dan boleh didenda sebanyak $2,500 dan penjara enam bulan dan jika berterusan, denda sebanyak $50 sehari akan dikenakan.

    Sokongan dan kerjasama semua entiti perniagaan, institusi swasta, koperasi, persatuan, kelab dan badan-badan berkanun di sektor swasta dalam memberikan maklumat yang dikehendaki adalah sangat diharapkan untuk kejayaan banci berkenaan.

    Gambar Pexel

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda