Oleh Mu’min Karim
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Jabatan Perkhidmatan Makmal, Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) telah berjaya mengumpul sebanyak 33 pain darah dalam kempen derma darah yang diadakan di Tokyo Hall, Airport Mall, hari ini.
Kempen tersebut merupakan anjuran bersama The Destination dengan Pusat Pendermaan Darah Hospital RIPAS sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) selain memberi peluang kepada orang ramai untuk mengunjungi dewan baharu, Tokyo Hall.
Wartawan Media Permata berkesempatan menemu bual seorang penderma darah veteran, Awang Suhaili bin Idris, 63, yang mengongsikan bahawa beliau telah menderma darah sebanyak 20 kali seperti yang tertera pada buku kad derma darah miliknya.
Beliau berasa amat bangga dengan pencapaian tersebut dan komited untuk terus menderma darah jika berkesempatan.
Awang Suhaili turut melahirkan rasa syukur kerana berpeluang menderma darah bagi sama-sama menyahut seruan Kementerian Kesihatan di samping memperoleh manfaat daripada menderma darah.
“Banyak manfaat yang dapat diperoleh daripada menderma darah, antaranya mengeluarkan segala darah yang kotor dan memproses darah baharu bagi kebaikan kesihatan.
Membeli-belah Airport Mall, kelmarin.
“Setiap kali selepas saya menderma darah, badan berasa segar dan ringan untuk melakukan pekerjaan seharian.
“Di samping itu, dengan menderma darah ini kita mampu menolong mereka yang memerlukan bantuan darah sekali gus meraih ganjaran pahala menolong menyelamatkan nyawa orang,” tambah beliau.
Sementara itu, bagi mereka yang berhasrat untuk menderma darah tetapi masih ada keraguan kerana mengambil ubat, boleh membuat pertanyaan melalui hotline Pusat Pendermaan Darah di talian 8775745 atau 7375745 pada waktu bekerja.
Pusat Pendermaan Darah juga mengingatkan orang ramai bahawa memberi maklumat dan keterangan palsu merupakan satu kesalahan di bawah Bab 11 Akta Penyakit-penyakit Berjangkit (Penggal 204) yang boleh membawa kepada denda tidak melebihi $20,000, hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.