Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 APRIL – Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) hari ini telah merasmikan Bangunan Radar Cuaca dan melancarkan Sistem Pemantauan Radar Cuaca Doppler Brunei Darussalam bersamaan dengan Sambutan Hari Kaji Cuaca Sedunia 2023 di bangunan berkenaan di Kampung Melabau.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Pemangku Pengarah Kaji Cuaca, Dayang Rokiah binti Haji Angas dalam ucapannya selaku pengerusi majlis menjelaskan, projek itu bertujuan untuk memperkukuhkan dan meningkatkan kemampuan BDMD dalam memantau dan menganalisis perkembangan cuaca dalam masa sebenar dan meningkatkan ketepatan ramalan cuaca dan pengeluaran amaran cuaca lebih awal atau tepat pada waktunya.
“Ini setentunya dapat mendukung tanggungjawab BDMD dalam memberi maklumat dan amaran cuaca awal untuk agensi-agensi berkepentingan seperti pihak penerbangan, pertahanan, keselamatan dan juga orang awam termasuk para nelayan,” jelas Dayang Rokiah lagi.
Acara diteruskan dengan perasmian Bangunan Radar Cuaca dan pelancaran Sistem Pemantauan Radar Cuaca Doppler Brunei Darussalam oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Projek mengganti dan menaik taraf Rangkaian Radar Cuaca itu merupakan salah satu projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-11 yang bertujuan untuk memperkukuhkan sistem-sistem pemantauan cuaca di Negara Brunei Darussalam.
Ia juga adalah salah satu pelan tindakan di bawah inisiatif pelaksanaan projek-projek sistem pemantauan cuaca yang mendukung Petunjuk Prestasi Utama, dalam Pelan Strategik MTIC 2025 iaitu untuk mencapai 90 peratus ketepatan dalam amaran cuaca penerbangan menjelang 2025.
Bangunan Radar Cuaca itu digunakan untuk menempatkan sistem dan peralatan pemantauan radar cuaca Doppler baharu, yang akan dapat meningkatkan lagi tahap kapasiti pemantauan dan penganalisaan perkembangan cuaca secara masa sebenar.
Kemampuan sistem radar, Sistem state-of-the-art yang dibekalkan adalah dual polarization weather radar system yang beroperasi menggunakan S-band yang berkemampuan melakukan imbasan pada jarak 250 kilometer radius.
Kemampuan tersebut akan memberikan sensitiviti yang luar biasa dan membolehkan pemantauan fenomena cuaca yang luas dengan kualiti data yang tinggi dan ketinggian resolusi (15m x 15m).
Selepas pelancaran, tetamu kehormat dan para jemputan menyaksikan pameran mini yang memaparkan maklumat mengenai sistem radar cuaca berkenaan dan aplikasi mudah alih Brunei WX yang telah dinaik taraf dengan penambahan ciri-ciri baharu yang termasuk animasi radar cuaca, maklumat kemungkinan hujan, Indeks Pencemaran Udara dan maklumat air pasang surut.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap dan pemangku timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua eksekutif, para pengarah bahagian, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan MTIC, jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.
Hari Kaji Cuaca Sedunia disambut setiap 23 Mac bagi memperingati berkuat kuasanya konvensyen Pertubuhan Kaji Cuaca Sedunia (WMO) pada 1950.
Ia juga disambut bagi menghargai sumbangan-sumbangan penting yang diberikan oleh perkhidmatan-perkhidmatan kaji cuaca dan hidrologi kebangsaan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di seluruh dunia.
Pada tahun ini, Hari Kaji Cuaca Sedunia diraikan dengan tema ‘Masa Depan Cuaca, Iklim dan Air Merentas Generasi’.