Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir di pedalaman Tutong terkawal

    Oleh Nurdiyanah R.

    TUTONG, 26 DIS – Berikutan hujan lebat yang berterusan membadai negara, beberapa kawasan pedalaman dan rendah telah diancam banjir.

    Pemangku Ketua Kampung Merimbun dan Kuala Ungar, Awang Sani bin Angkat ketika dihubungi Media Permata berkongsi perkembangan kejadian banjir di kawasan pedalaman di Mukim Rambai.

    Beliau berkata, setakat 7:39 pagi tadi, paras air limpahan akibat hujan berterusan telah mula memasuki beberapa batang jalan raya di kawasan rendah di mukim tersebut.

    Manakala itu, berkongsi situasi di Daerah Tutong, Jabatan Daerah Tutong menyatakan bahawa meskipun hujan lebat berterusan pada masa ini namun paras air dalam keadaan terkawal.

    Dalam pada itu, penghulu mukim dan ketua kampung di Daerah Tutong bersama agensi-agensi berkepentingan sentiasa berganding bahu melakukan pemantauan, memberi bantuan dan menangani bencana berkenaan dari semasa ke semasa.

    Situasi banjir di beberapa kawasan di Mukim Rambai, hari ini. – Gambar serahan Awang Sani

    Selain itu, pihak jabatan turut mengongsikan mengenai kejadian banjir kilat di beberapa kawasan Kampung Keriam disebabkan air pasang namun tiada aduan diterima mengenai kediaman penduduk kampung terjejas seawal pagi, hari ini.

    Kementerian Kesihatan sentiasa mengeluarkan nasihat kesihatan semasa banjir bagi kesedaran awam menerusi siaran medianya seperti yang pernah dikeluarkan sekitar 13 Oktober lalu, yang mengingatkan orang ramai terutama yang tinggal di kawasan yang terjejas dan dilanda banjir supaya mengambil langkah-langkah berwaspada bagi mencegah dan menghindarkan sebarang kemalangan, kecederaan dan kemungkinan berlakunya penyakit-penyakit berjangkit bawaan makanan dan air seperti kolera, cirit-birit, keracunan makanan dan penyakit-penyakit bawaan vektor seperti demam denggi dan sebagainya.

    Antara langkah-langkah yang perlu diambil semasa dan selepas berlakunya banjir termasuklah memastikan bekalan air adalah bersih dan tidak tercemar, memastikan air minum dimasak terlebih dahulu atau meminum air botol, memasak semua makanan dengan sempurna dan mengutamakan kebersihan diri khususnya membasuh tangan dengan air bersih serta sabun selepas menggunakan tandas.

    Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal dan kawasan yang berdekatan, tidak membuang sampah merata-rata, serta memastikan saliran air tidak tersumbat oleh sampah sarap, lumpur dan dahan-dahan pokok dan mendapatkan rawatan jika mengalami penyakit seperti demam panas, sakit perut, cirit-birit, muntah dan lain-lain.

    Orang ramai juga diminta untuk mengutamakan keselamatan khususnya kanak-kanak agar tidak terdedah kepada air banjir bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini seperti lemas, kecederaan serta jangkitan penyakit dan mengelakkan daripada menyentuh dawai elektrik yang jatuh berdekatan air banjir.

    Bagi mereka yang mempunyai luka-luka dan penyakit kulit ataupun yang mempunyai masalah kesihatan kronik, terutama sekali kencing manis seboleh-bolehnya mengelakkan daripada terkena air banjir kerana air banjir yang kotor boleh menyebabkan jangkitan.

    Walau bagaimanapun, jika mengalami kecederaan kecil yang terdedah kepada air banjir, dinasihatkan supaya memastikan luka-luka tersebut dibersihkan dan mendapatkan rawatan di pusat-pusat kesihatan yang berdekatan.

    Sementara itu, bagi pesakit-pesakit yang menghidapi penyakit kronik, hendaklah memastikan mempunyai bekalan ubat yang mencukupi dan jika kekurangan bekalan dinasihatkan untuk menghubungi pusat-pusat kesihatan yang berdekatan bagi mendapatkan bantuan bekalan ubat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda