Tuesday, March 18, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir jejas kawasan rendah

    Oleh Azlan Othman

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Banjir kilat disebabkan hujan lebat yang turun sejak malam tadi telah menjejaskan beberapa kawasan rendah di negara ini awal pagi hari ini.

    Di Kampung Menglait sahaja, banyak rumah dan kereta ditenggelami air yang mencecah paras lutut dan kelibat ular berjalur hitam dan kuning telah menyebabkan ketakutan penduduk.

    Menurut seorang mangsa yang hanya dikenali sebagai Hajah, beliau dibangunkan oleh jirannya yang memaklumkannya mengenai kenaikan air banjir pada awal pagi.

    Beliau berkata, rumah dan keretanya ditenggelami air yang naik sehingga kira-kira paras lutut menyebabkan lima buah keretanya dibawa ke bengkel untuk dibaiki.

    “Kejadian ini adalah yang paling teruk dalam tahun-tahun kebelakangan,” ujar beliau sambil menambah, kejadian sama juga berlaku pada tahun 2009.

    Kejadian serupa juga berlaku di Kampung Perpindahan Burong Pinggai Berakas dan kawasan membeli-belah berdekatan Padang Kebajikan yang dilitupi dengan lumpur dan beberapa buah kereta juga dilihat terkandas.

    Banjir juga menjejaskan tempat letak kereta tingkat bawah tanah dekat Gadong Central dan balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

    Sementara itu, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) berkata, Brunei Darussalam kini berada dalam tempoh peralihan antara monsun barat daya kepada monsun timur laut yang biasanya berakhir pada hujung November.

    Hari ini, taufan ‘Mitag’ dilihat berada di kedudukan 27.05 batu nautika utara dan 122.30 batu nautika timur di rantau barat timur Lautan Pasifik setakat 5:45 pagi waktu setempat, bergerak menuju ke utara dari Brunei dan tidak akan menjejaskan cuaca negara ini.

    Kawasan perumahan di Kampung Menglait turut ditenggelami air selepas hujan lebat turun sejak kelmarin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda