Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Banjir kilat di Indonesia korbankan 67 orang

    TANAH DATAR, 15 MEI – Anggota penyelamat Indonesia bertungkus lumus hari ini mencari berpuluh-puluh orang hilang selepas hujan lebat menyebabkan banjir kilat dan menghanyutkan serpihan gunung berapi ke kawasan perumahan lantas merosakkan rumah dan menyebabkan 67 orang terkorban.

    Hujan lebat berjam-jam pada Sabtu lalu menyebabkan lumpur dan batu mengalir ke daerah berhampiran salah satu gunung berapi paling aktif di Indonesia, memusnahkan berpuluh-puluh rumah dan merosakkan jalan raya dan masjid.

    “Sebahagian daripada yang hilang telah ditemui. Menurut kenal pasti polis, 67 orang maut,” kata ketua agensi bencana negara, Suharyanto dalam sidang akhbar hari ini, meningkatkan jumlah kematian daripada 58 orang.

    Beliau menambah bahawa 20 orang masih hilang, dengan penyelamat berkata banyak mayat yang ditemui di dalam atau di sekitar sungai selepas dihanyutkan oleh banjir bahan gunung berapi, lumpur dan hujan.

    Jentera berat dikerahkan untuk membersihkan serpihan dari kawasan yang paling teruk dilanda banjir dan aliran lava sejuk, yang telah menjejaskan akses pengangkutan di enam daerah, kata Suharyanto.

    Ketika usaha mencari diteruskan, sukarelawan dalam bot getah turut menyertai pasukan penyelamat.

    “Kami telah meninjau kawasan yang tidak boleh dicapai dengan kereta. Arus di sungai itu sangat kuat, jadi pencarian agak berbahaya,” Ritno Kurniawan, 38, ahli komuniti berakit tempatan, memberitahu AFP.

    Pegawai mencari dan menyelamat wilayah, Hendri memberitahu AFP bahawa hujan, timbunan kayu balak dan batu gunung berapi besar di sungai turut menghalang pencarian. – AFP

    Seorang mangsa, Rina Deswita di sebelah kawasan kejiranannya yang musnah dan tiga ahli keluarga telah maut akibat banjir kilat di kampung Parambahan, di Tanah Datar, Sumatera Barat, Indonesia pada 15 Mei 2024. – AFP

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...