Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Banjir kilat jejas sebahagian kawasan

    Oleh Sim Y. H. dan Salawati Haji Yahya
    Gambar ihsan Jeffrey Wong

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Hujan lebat lewat petang dan berlarutan ke malam mengakibatkan beberapa kawasan rendah dan sering terdedah banjir, dilanda banjir kilat kelmarin.

    Beberapa buah rumah di Daerah Brunei dan Muara dimasuki air dan ada sebahagian kawasan dilaporkan ditenggelami air sehingga ke paras lutut, namun ia beransur surut selepas hujan berhenti lewat malam.

    Rumah didiami salah seorang penduduk, Jeffrey Wong bersama kakaknya di Sungai Hanching telah dimasuki air di tingkat bawah. Beliau mengatakan kakaknya sudah tinggal di kawasan itu lebih 40 tahun namun ini merupakan kali pertama banjir seumpamanya berlaku.

    Rumah mereka terletak berhampiran jalan raya utama dan pernah mengalami kemasukan air tetapi tidaklah seteruk semalam.

    Kejadian itu, jelasnya lagi, bukan sahaja menjejaskan rumah kakaknya malahan kedai berhampiran termasuk salun rambut dan gerai nasi katok.

    Keadaan banjir di kawasan Jalan Muara, semalam.
    Air banjir yang memasuki tingkat bawah sebuah rumah di kawasan Sungai Tilong.

    Selain daripada itu, ulasnya lagi, penduduk di kawasan itu turut menyuarakan perasaan terkejut dengan kejadian banjir kilat di kawasan itu dengan sebilangan mereka berkata ia merupakan kali pertama banjir kilat seteruk itu berlaku.

    Menurut Jeffrey, terdapat parit yang besar berhampiran kawasan berkenaan dan berpendapat hujan yang begitu lebat dalam masa yang singkat, mungkin memburukkan keadaan dengan menyebabkan air melimpah dan memasuki kawasan rumah berkenaan.

    Beliau berharap pihak yang berkenaan dapat memantau keadaan tersebut serta
    membantu untuk berusaha menangani masalah itu supaya dapat mengelakkan kejadian
    itu daripada berlaku lagi.

    Manakala Haji Tuah bin Haji Matusin, seorang warga emas di Kampung Sungai Akar ketika dihubungi, juga mengongsikan kawasan luar rumahnya ditenggelami air dalam kejadian itu.

    “Nasib baik hujan lebat kali ini air limpahan hanya di kawasan luar rumah sahaja dan tidak seperti sebelumnya. Terdapat beberapa kejadian dalam setahun apabila air memasuki kawasan dalam rumah sehingga ke bilik tidur,” tambahnya.

    Hujan lebat yang turun sejak petang itu, menimbulkan kebimbangan buat Haji Tuah kerana air sudah mula naik sejak Maghrib dan terpaksa sentiasa memantau keadaan sekeliling rumah kerana khuatir air meningkat mendadak, katanya.

    Menurutnya yang telah menetap di Kampung Sungai Akar lebih 20 tahun, masa mula-mula tinggal di sana, banjir tidaklah seteruk sekarang. Tiada longkang besar yang boleh mengalirkan air secara teratur di sana, tambahnya. Beliau juga khuatir, keadaan cuaca yang sering hujan kebelakangan ini boleh membawa kepada banjir besar seperti sebelum ini sehingga mengakibatkan kerosakan terhadap harta bendanya.

    “Sebelum ini, kami pernah menyewa jentera Kato untuk membersihkan tanah lumpur akibat hujan lebat dan banjir yang mana pernah berlaku banjir hampir setinggi setengah kaki,” jelasnya.

    Beliau seterusnya berharap pihak berkenaan akan dapat membantu menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh penduduk kampung yang sering terjejas akibat hujan lebat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...