BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Bank Baiduri mencatatkan satu lagi sejarah apabila menerima Anugerah Bank Tahunan 2019 daripada majalah The Banker dalam satu majlis penyampaian anugerah di London.
Pencapaian terbaharu menandakan anugerah perbankan antarabangsa keempat pada tahun ini untuk Bank Baiduri dan kali ke-14 yang diterima oleh bank. Pencapaian ini juga menandakan tahun keenam berturut-turut Bank Baiduri menerima Anugerah Bank Tahunan.
Anugerah Bank Tahunan yang ke-20 oleh The Banker disampaikan pada majlis malam gala di Sheraton Grand London Park Lane, London pada 28 November 2019. Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui, menerima anugerah bagi pihak bank.
Bercakap mengenai pencapaian terbaharu bank, Ti berkata, “Anugerah ini merupakan satu lagi bukti tentang kemajuan dan pencapaian yang dicatat oleh bank dalam tempoh 18 bulan lalu. Tahun ini sahaja, pihak bank telah mengambil langkah besar untuk meningkatkan lagi prestasi pertubuhan dengan melabur dalam teknologi canggih, keselamatan data pelanggan serta keupayaan sumber manusianya.”
Di antara inisiatif strategik terbaharu yang dilaksanakan oleh Bank Baiduri adalah platform perbankan digital yang dijangka dilancarkan dalam suku pertama 2020. Inisiatif lain termasuk mempertingkatkan keupayaan modal insan bank dan pelancaran siri latihan kemahiran perniagaan tempatan sebagai komitmen jangka panjang untuk membantu memajukan perniagaan tempatan dalam perkongsian dengan Darussalam Enterprise (DARe).

Mengulas mengenai langkah perniagaan strategik baru-baru ini, Ti berkata, “Bank Baiduri mempunyai jumlah kad perniagaan terbesar dalam negara. Dengan menjalin perkongsian bersama DST, pembekal telekomunikasi utama Brunei untuk melancarkan e-Wallet, kesan sinergistik adalah penubuhan ekosistem bayaran digital terbesar dalam negara dengan kesalinghubungan bersama platform pembayaran serantau dan antarabangsa.”
Selain itu, mengenai topik modal insan, Ti berkata, “Kami melabur dalam platform latihan dalam talian terbaik di dunia untuk menambah kemahiran kakitangan kami dengan tujuan memperakui mereka dalam standard industri global; dan kami tidak lama lagi akan beralih kepada platform pengurusan modal insan berasaskan ‘cloud’ yang disediakan oleh pembekal perkhidmatan global lain.”
Menurut beliau lagi, “Di bawah Program Pengurusan Bersekutu yang baru dilancarkan, dua calon akan menjalin pembangunan intensif selama 12 bulan bertujuan memaksimuman potensi mereka dan mengembangkan kerjaya mereka dalam Kumpulan Bank Baiduri.”
Bercakap mengenai anugerah terbaharu, Ti berkata, “Ia memberikan kami penghargaan apabila diiktiraf sebagai Bank Tahunan untuk Brunei oleh penerbitan kewangan antarabangsa terkemuka. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan, rakan perniagaan dan rakan bersekutu atas kepercayaan dan sokongan yang telah diberikan kepada kami menjadikan kami bank pemenang anugerah hari ini.”
Dalam memilih pemenang anugerah, The Banker, sumber perbankan dan kewangan utama di dunia, melihat di luar data baharu. Kumpulan editorial melihat bukti bank menetapkan standard baharu untuk industri tempatan mereka sama ada ia menerusi penggunaan teknologi baharu atau kaedah inovatif mengembang perniagaan mereka. Penilaian dijalankan oleh jawatankuasa editorial berdasarkan penyertaan yang dihantar, data daripada pangkalan data The Banker dan pengetahuan peribadi editor tentang pasaran.
Pada awal tahun ini, Bank Baiduri menerima tiga anugerah antarabangsa lain, Bank Runcit Domestik Tahunan untuk Brunei 2019 daripada majalah Asian Banking and Finance, Kumpulan Perbankan Terbaik untuk Brunei 2019 daripada majalah World Finance serta Bank Terbaik di Rantau Asia Pasifik untuk Brunei 2019 daripada majalah Global Finance.