Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bank Baiduri raih pengiktirafan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 DIS – Bank Baiduri telah mendapat pengiktirafan daripada The Banker, salah satu penerbitan terkemuka dunia oleh Financial Times, United Kingdom, apabila menerima anugerah Bank of The Year 2022.

    Ia merupakan anugerah perbankan antarabangsa kelima yang diterima pada tahun ini, Bank Baiduri memaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

    Baiduri turut menyatakan bahawa ia juga merupakan kali ke-15 mereka menerima anugerah berprestij itu, mengukuhkan kedudukan bank sebagai peneraju industri dan institusi dinamik di barisan hadapan dalam inovasi kewangan.

    Menurut majalah The Banker, Bank Baiduri telah memenangi anugerah berkenaan berdasarkan asas-asas yang kukuh.

    Pada 2021, tambah majalah itu, ia mencatatkan keuntungan bersih sebanyak $58.5 juta, manakala nisbah kos kepada pendapatan bertambah baik dan kini berada di bawah 50 peratus, berikutan inisiatif untuk meningkatkan kecekapan.

    The Banker juga memuji Bank Baiduri atas komitmen kuatnya untuk membina masa depan yang mampan untuk negara.

    “Baiduri telah memberi tumpuan untuk membina kelayakan (credentials) alam sekitar, sosial dan tadbir urusnya, serta terlibat secara aktif dalam menyokong komuniti tempatan.”

    Mengulas mengenai anugerah itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui berkata ia adalah bukti kukuh kepada model dan strategi perniagaan bank yang kukuh, serta ketabahan kakitangannya.

    “Saya amat berbangga kerana kami telah diiktiraf sebagai Bank of The Year untuk Brunei, dan saya mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan dan rakan kongsi perniagaan kami atas semua sokongan mereka melalui tempoh yang sangat mencabar semasa pandemik.

    Ia sememangnya satu penghormatan untuk menerima anugerah ini yang dianggap secara meluas sebagai piawaian industri untuk kecemerlangan perbankan,” ujarnya.

    Menurut majalah The Banker, Bank Baiduri menerima anugerah itu berikutan beberapa inisiatif yang telah dicapai sepanjang tahun yang memberi kesan bukan sahaja kepada pelanggan dan aspek kewangan, tetapi juga kepada masyarakat.

    Ini termasuk perkongsian bank dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam penciptaan Mengalinga iaitu sebuah aplikasi mudah alih untuk sukarelawan, Akademi Kepimpinan yang dilancarkan akhir tahun lepas untuk membolehkan pekerja mengarahkan sendiri laluan pembelajaran dan pembangunan mereka, serta strategi penglibatan pekerja bank yang kukuh, seperti Inisiatif Kesejahteraan Pekerja dan platform sukarelawan pekerja Baiduri Cares.

    Anugerah itu menandakan satu lagi prestasi cemerlang bank dalam tahun yang menjadi mercu tanda.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda