Tuesday, March 18, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bantu golongan yang memerlukan di bulan Ramadan

    Oleh Salawati Haji Yahya & Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Bulan Ramadan ini terus disemarakkan dengan majlis-majlis keagamaan dan aktiviti amal yang diadakan oleh pelbagai pihak termasuk syarikat-syarikat dan komuniti setempat.

    Kelmarin, Indera Motors, pengedar tunggal Land Rover di Brunei, dengan kerjasama Persatuan Kereta Tahan Lasak Brunei (PKTLB), telah menyempurnakan penyampaian barangan keperluan kepada keluarga kurang berkemampuan dan anak-anak yatim di kawasan pedalaman di Daerah Temburong, di bawah kempen amal Ramadan Relief.

    Perjalanan menuju ke destinasi sumbangan telah diketuai oleh Presiden PKTLB, Awang Adibin bin Haji Musa.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Indera Motors, hari ini, sebanyak 34 buah kenderaan, termasuk 18 buah Land Rover Defender yang ikonik, digunakan untuk mengangkut barang keperluan kepada 16 buah keluarga dan 17 orang anak yatim yang tinggal di pedalaman Temburong.

    Perjalanan kempen amal berkenaan telah diakhiri dengan acara berbuka puasa di Dewan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rataie, Daerah Temburong yang dihadiri oleh 17 orang anak yatim bersama enam orang penjaga.

    Pengiran Haji Ismail dan Awang Wazir menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim anjuran MPK Jerudong.

    Pengiran Haji Ismail menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan ibu tunggal di RPN Kampung Panchor Kawasan 2.

    Konvoi Indera Motors dengan kerjasama PKTLB, telah berjaya menyempurnakan penyampaian barangan keperluan kepada golongan keluarga dan anak yatim di kawasan pedalaman di Daerah Temburong, di bawah kempen amal Ramadan Relief, kelmarin.

    Turut hadir ialah Pengurus Jualan Indera Motors, Awang Hairol Ajak yang sekali gus menyampaikan ucapan alu-aluan diikuti dengan penyampaian sumbangan derma sebelum diakhiri dengan berbuka puasa.

    Sementara itu, baru-baru ini, Majlis Perundingan Kampung (MPK) RPN Kampung Panchor, Mengkubau, kawasan 4 & 5 telah mengadakan Majlis Tahlil dan Doa Arwah Sekampung di Dewan Sekolah Rendah Mentiri.

    Majlis anjuran MPK Jerudong B dengan kerjasama Komuniti Sukarelawan Mengkubau itu diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada 48 orang anak yatim di kawasan berkenaan.

    Sumbangan daripada warga kampung itu telah disampaikan oleh Pemangku Penghulu Mukim Mentiri dan Ketua Kampung Sungai Buloh, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Haji Ibrahim.

    Turut menyampaikan sumbangan adalah Restoran DMasjafree yang disampaikan oleh Awang Wazir bin Haji Shahbudeen.

    Dalam pada itu, seramai 64 orang anak yatim dan 80 orang ibu tunggal telah menerima sumbangan berupa kewangan dan barangan asasi pada Majlis Tahlil dan Doa Arwah Sekampung, kelmarin.

    Majlis yang berlangsung di kediaman Pemangku Ketua Kampung Kawasan 2, Haji Awang Mohd Eddie Hardey bin Haji Awang Ibrahim itu diselajurkan dengan penyampaian derma anak-anak yatim bagi penduduk RPN Kampung Panchor, Mentiri Bagi Kawasan 2,4 dan5 anjuran jawatankuasa Kampung RPN Kampung Panchor kawasan 2.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sumbangan kepada penerima ialah Pemangku Penghulu Mukim Mentiri dan Ketua Kampung Sungai Buloh, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Haji Ibrahim.

    Sumbangan tersebut adalah hasil kutipan daripada ahli-ahli jawatankuasa Kampung RPN Kampung Panchor kawasan 2, kumpulan Ikhwanul Mahabbah, Aura SriBunda & Keluarga, Sahamada Corporation Sdn Bhd dan individu persendirian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda