Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Orang ramai diseru untuk tampil ke hadapan bagi sama-sama membantu mengekalkan bekalan darah di Negara Brunei Darussalam dengan mengambil bahagian dalam kempen-kempen menderma darah.
Dalam hubungan itu, Pusat Pendermaan Darah di Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan akan mengadakan kempen-kempen derma darah yang dibukakan penyertaan kepada orang ramai pada 2 Mac di kawasan Lobi, Jabatan Daerah Kuala Belait anjuran Jabatan Daerah Kuala Belait bermula pukul 10 pagi hingga pukul 2 petang dan pada 3 Mac di Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha bermula 9 pagi hingga pukul 11:30 pagi.
Sementara itu, Tabung Darah Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Kuala Belait juga akan mengadakan kempen derma darah di Learning Development Center, Hospital SSB anjuran Kelab Rotary Belait bermula pukul 9 pagi hingga pukul 3 petang.
Para penderma darah yang berminat adalah digalakkan untuk membuat tempahan slot derma darah melalui aplikasi BloodKad bagi kempen-kempen derma darah berkenaan.