Wednesday, April 24, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Bantu PMKS berdaya tahan masa depan

    Gambar oleh Infofoto

    BANGKOK, 20 NOV – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu dibantu untuk bersedia menghadapi masa hadapan dengan meluaskan pengetahuan agar lebih berdaya tahan dengan keadaan semasa, membentuk persekitaran relevan dan boleh diramal untuk menarik para pelabur dan usahawan.

    PMKS juga perlu diintegrasikan ke dalam rantaian serantau dan bekalan serta dilengkapkan kemahiran digital.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan keperluan memperkasakan PMKS itu semasa bertitah pada Sesi Permukiman Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC 2022 (AELM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Nasional Ratu Sirikit (QSNCC), Bangkok, Thailand kelmarin.

    Turut berangkat mengiringi Baginda pada sesi permukiman itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Terdahulu, Baginda menekankan kepentingan mempercepatkan pemulihan ekonomi, mengukuhkan perdagangan dan pelaburan dengan menggunakan pendekatan holistik dan bersepadu dalam era pasca-pandemik, khususnya kepada PMKS.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan menyertai AELM di Bangkok, Thailand, kelmarin.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berangkat menghadiri Sesi Permukiman Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC 2022.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berangkat meninggalkan Bangkok, Thailand, Sabtu lalu.

    Pada sesi permukiman itu, Baginda juga bertitah mengambil maklum mengenai hasil positif daripada Persidangan Menteri-menteri Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) ke-12 yang mencerminkan komitmen negara-negara ahli dalam memastikan perdagangan global kekal tanpa sebarang kekangan.

    Baginda juga menyeru agar APEC meneruskan semangat multilateralisme dan melibatkan semua pihak berkepentingan untuk memastikan peranannya sebagai inkubator akan terus menyumbang kepada usaha-usaha WTO.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa mengakhiri titah turut memberikan sokongan kepada Amerika Syarikat yang akan menjadi Pengerusi APEC bagi 2023, yang akan membawa tema Creating a Resilient and Sustainable Future for All.

    Sesi permukiman kedua bertemakan ‘Perdagangan dan Pelaburan Mampan’ itu telah dirasmikan dengan ucapan alu-aluan daripada Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Prayut Chan-o-cha diikuti dengan perbincangan pemimpin-pemimpin APEC mengenai kerjasama dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama. Sesi itu juga mendengarkan penerangan daripada Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai Global Economic Outlook.

    Semasa AELM kali ini, dua dokumen telah dikeluarkan iaitu Deklarasi Pemimpin Ekonomi APEC yang mengetengahkan kerja-kerja APEC sepanjang 2022 semasa Thailand menjadi Pengerusi APEC.

    Ia merangkumi usaha memajukan Kawasan Perdagangan Bebas Asia-Pasifik (FTAAP), laluan selamat, pemerkasaan perekonomian wanita; dan kedayatahanan melalui model Ekonomi Bio-Kitaran Hijau (BCG).

    Manakala dokumen kedua ialah Matlamat Bangkok mengenai Ekonomi BCG yang bertujuan untuk mengesahkan komitmen Pemimpin APEC dalam meneruskan objektif kemapanannya secara responsif dan komprehensif untuk menangani peningkatan cabaran ekonomi dan alam sekitar yang dihadapi rantau ini, di samping memperkukuh dan menyumbang kepada tindakan global yang sedang berjalan.

    Pada hari yang sama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia turut berangkat meninggalkan Bangkok, Thailand.

    Sebelum berangkat, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Berada di Terminal Udara Don Mueang bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Timbalan Perdana Menteri Thailand, TYT Prawit Wongsuwan.

    Turut hadir bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Thailand, TYT Pengiran Haji Sahari bin Pengiran Haji Salleh.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...