BARCELONA, 10 OKT – Gol Pedri membantu Barcelona meraih kemenangan 1-0 ke atas Celta Vigo untuk kembali mendahului La Liga kelmarin.
Selepas Real Madrid menewaskan Getafe, Barcelona tahu mereka perlu menewaskan Galicia untuk menuju ke Clasico Ahad depan sebagai pendahulu liga, tetapi Celta tidak memudahkan mereka.
Barcelona memiliki kelebihan tipis, pasukan pelawat hampir menjaringkan gol penyamaan di Camp Nou namun Marc-Andre ter Stegen memperoleh rekod bersih domestik keenam berturut-turut dengan cemerlang, menyelamatkan percubaan lewat daripada Iago Aspas.
Percubaan Goncalo Paciencia terkena gawang pada masa kecederaan dengan pasukan Barcelona, memohon pengadil untuk meniup wisel penamat.
“Kami mengharungi separuh masa kedua yang hebat, dengan empat, atau lima, atau enam peluang jelas, tetapi jika awda tidak menjaringkan gol di Camp Nou maka adalah perkara biasa yang awda kalah,” kata Aspas kepada DAZN. “Mereka akhirnya membuang masa ketika membuat lontaran ke dalam.”
Ia merupakan satu persembahan yang tidak memberi petanda baik untuk pertembungan penting Barcelona dalam Liga Juara-Juara menentang Inter Milan pada Rabu.
“Bermain seperti yang kami lakukan pada separuh masa kedua ia akan menjadi sangat sukar untuk menewaskan Inter, tetapi pada separuh masa pertama, ya, kami perlu mengekalkan tahap itu,” kata jurulatih Barca Xavi Hernandez.
“Hari ini kami bernasib baik kerana mempunyai penjaga gol yang hebat, tetapi kami perlu memperbaiki diri, kami perlu mengkritik diri sendiri.”
Xavi memulakan pertahanan kiri Marcos Alonso di bahagian pertahanan tengah, bersama Gerard Pique, sebahagiannya disebabkan masalah kecederaan, tetapi sebaliknya memilih pasukan terkuatnya yang ada. – AFP
