Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bastianini catat rekod latihan MotoGP Indonesia

    LOMBOK, 27 SEPT — Pelumba Ducati, Enea Bastianini mencatat rekod baharu di latihan MotoGP Indonesia hari ini, sekali gus menempatkan dirinya sebagai calon utama untuk mencabar kedudukan pendahulu kejuaraan, Jorge Martin.

    Dengan keadaan cuaca lembap di Litar Mandalika, Martin dari pasukan Pramac mencatat rekod baharu dengan catatan masa terbaik sebelum Bastianini, yang dikenali dengan julukan The Beast, memecahkan rekod tersebut dengan catatan masa satu minit 29.630 saat.

    Juara bertahan, Francesco Bagnaia, berada di tempat keempat dan ketinggalan 0.082 saat, kini merancang untuk mengejar Martin dalam kedudukan kejuaraan pelumba, di mana dia ketinggalan 24 mata dengan baki enam perlumbaan.

    Bastianini dan pelumba Gresini, Marc Marquez, kini masing-masing berada 59 dan 60 mata di belakang Martin. Marquez menamatkan sesi latihan di kedudukan ketujuh.

    Pelumba Redbull GasGas, Pedro Acosta tergelincir dari litar tetapi kembali untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dan mara ke pusingan kelayakan kedua esok.

    Namun begitu, nasib kurang menyebelahi pelumba Aprilia, Miguel Oliveira, yang mengalami patah pergelangan tangan kanan dalam sesi latihan pagi tadi, sekali gus mengesahkan penarikannya daripada perlumbaan hujung minggu ini. Penyertaannya dalam MotoGP Jepun minggu hadapan juga masih dalam tanda tanya.

    Sesi latihan pagi dikuasai oleh Franco Morbidelli, yang menduduki tempat ketiga dalam latihan terakhir.

    Seramai 10 pelumba terpantas dalam latihan tersebut layak ke sesi kelayakan kedua esok, yang akan menentukan kedudukan di grid perlumbaan. – AFP

    Bastianini beraksi semasa sesi latihan tersebut di Litar Antarabangsa Pertamina Mandalika di Mandalika, Nusa Tenggara Barat, baru-baru ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda