Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Bastianini pecah rekod tak rasmi MotoGP Sepang

    SEPANG, 7 FEB – Enea Bastianini dari Itali memecahkan rekod pusingan tidak rasmi MotoGP di Litar Sepang semasa ujian pramusim hari kedua yang dramatik hari ini hanya beberapa jam selepas pelumba terpantas pada hari pertama, Jorge Martin, mencapainya.

    Martin dari Sepanyol telah meneruskan pencapaiannya dengan mengatasi masa pusingannya dari Selasa untuk mencatat masa 1 minit 57.273 saat pada jentera Ducati miliknya hampir sejam memasuki sesi hari ini dalam keadaan panas terik di Malaysia.

    Rekod Martin bertahan selama tujuh jam sehingga Bastianini menerjah litar untuk mencatatkan 1 minit 57.134 saat pada Ducati Lenovo miliknya bagi memastikan hari itu menjadi miliknya.

    Brad Binder dari Afrika Selatan melengkapkan tempat ketiga hanya di bawah satu perseratus saat di belakang Martin, manakala Aleix Espargaro dari Aprilia menduduki tempat keempat di hadapan juara dunia, Francesco Bagnaia di tempat kelima.

    Bastianini yang berusia 26 tahun, yang juga memenangi GP Malaysia tahun lalu, tersenyum apabila ditanya oleh wartawan sama ada dia boleh mencatatkan masa 1 minit 56 saat.

    “Ia mungkin boleh berlaku tetapi kita perlu melihat terlebih dahulu keadaan litar. Ia akan menjadi menarik untuk melihat sama ada kita boleh mencatat 56. Adalah penting untuk menjadi pantas pada masa pusingan, saya gembira tentang ini. Saya lebih yakin dengan jentera saya tahun ini,” katanya.

    “Saya tahu apa yang perlu dijangkakan. Akan ada tekanan untuk sentiasa melakukan pusingan yang lebih pantas, tetapi awda juga perlu bertenang,” tambah Bastianini. – AFP

    Aksi Bastianini semasa hari pertama ujian MotoGP pramusim di Litar Antarabangsa Sepang, Malaysia pada 6 Februari 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...