Wednesday, May 1, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Bau busuk lurang timbulkan ketidakselesaan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Bau busuk akibat dari saliran salah satu lurang yang tersumbat di salah sebuah bangunan di kawasan pusat bandar telah menimbulkan ketidakselesaan kepada pejalan kaki yang melalui kawasan berkenaan.

    Seorang individu yang kerap melalui kawasan berkenaan, Dayang Asmida binti Daud menghubungi Media Permata hari ini dan mengongsikan perasaan kecewa beliau apabila melalui kawasan berkenaan.

    Beliau yang menggunakan laluan berkenaan untuk pergi dan balik selepas bertugas berasa terkilan dengan keadaan tersebut.

    Menurutnya, keadaan tersebut mungkin sudah lama berlarutan dan hanya menyedari perkara itu sejak tiga hari yang lalu kerana ia bukan saja menimbulkan bau busuk malah ditambah dengan kotoran yang keluar dari lurang tersumbat itu.

    “Dengan bau busuk, dan air yang melimpah ditambah dengan kotoran dari lurang tersumbat itu, bukan saja boleh memberikan pandangan yang tidak baik dari segi kebersihan dan kesihatan, bukan sahaja kepada pejalan kaki, tapi juga kepada pelancong asing lebih-lebih lagi ia berada di kawasan salah satu bangunan di pusat bandar,” jelasnya.

    Manakala itu, beberapa peniaga di kawasan berkenaan turut mengakui keadaan lurang yang tersumbat itu, dan ia telah memberikan kesan kepada pengunjung kedai mereka di mana pelanggan mengadu bau busuk.

    Melihat kepada keadaan itu, sementara menanti tindakan daripada pihak berkenaan setelah aduan dibuat seminggu yang lalu, terdapat peniaga di kawasan berkenaan yang prihatin telah mengambil inisiatif menutup lurang yang tersumbat itu untuk pengguna jalan berkenaan dan selain mengurangkan bau yang kurang menyenangkan, ia juga bagi mengelakkan kotoran air itu melimpah ke kawasan lain.

    Keadaan salah satu lurang yang tersumbat dan telah mengakibatkan bau yang tidak menyenangkan di laluan berkenaan.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bangladesh catat suhu paling panas bulan April

    DHAKA, 1 MEI - Biro cuaca Bangladesh berkata hari ini bahawa bulan lalu merupakan bulan paling panas dalam rekod, dengan negara Asia Selatan dan...