KUALA LUMPUR – Ramai kalangan ibu yang mempunyai anak damit terpaksa menangguhkan pelbagai rancangan untuk melancong. Walaupun mempunyai pilihan sama ada untuk meninggalkan anak damit dengan penjaga atau pengasuh, ia tidak semudah itu apatah lagi sekiranya anak damit masih menyusu badan.
Begitu juga kalangan wanita bekerjaya yang ada kalanya terpaksa bertugas di luar kawasan atau di luar negara, semestinya menghadapi kesukaran jika mempunyai anak damit yang masih menyusu.
Baru-baru ini, penulis juga buntu apabila berdepan keadaan sedemikian bila ditawarkan dua tugasan luar negara. Sebagai wartawan, penulis perlu sentiasa bersedia untuk bertugas di mana sahaja pada bila-bila masa dan bagi penulis tugasan luar negara lazimnya sangat menarik sehinggalah bergelar ibu baru-baru ini. Memandangkan tugasan itu adalah yang pertama di luar negara setelah menjadi ibu kepada anak damit lelaki berusia empat bulan yang masih menyusu, penulis memutuskan untuk membawa anak bersama-sama.
Pada mulanya, penulis ditawarkan peluang untuk ke Astana, Kazakhstan, tetapi apabila mendapat tahu bahawa untuk ke destinasi itu penulis terpaksa transit melalui Beijing, China, dan keseluruhan perjalanan serta transit akan memakan masa selama 40 jam, penulis tidak mempunyai pilihan selain menolak tugasan itu.
Tidak lama selepas itu, penulis ditugaskan ke kota cinta, Paris. Seperti terdahulu, penulis juga berhasrat membawa anak damit bersama-sama.

Jadi, penulis membuat persediaan dengan menyelidik mengenai keperluan serta perkara-perkara berkaitan dengan perjalanan bersama anak damit.
Persiapan perjalanan
Perkara pertama adalah memeriksa jadual temu janji untuk dos vaksin anak damit penulis yang berikutnya. Tarikh yang ditetapkan adalah sebulan dari tarikh perjalanan ke luar negara dan masih terdapat banyak masa untuk berbuat demikian setelah pulang kelak. Penulis berasa lega apabila pakar kanak-kanak memberitahu penulis bahawa anak damit tidak perlu sebarang vaksinasi khusus sebagai langkah berjaga-jaga untuk perjalanan ke Perancis.
Kemudian, tiba masanya untuk mengemas pelbagai keperluan bagi perjalanan itu. Pertama dalam senarai adalah memastikan bekalan ubat-ubatan preskripsi seperti paracetamol untuk anak damit (PCM), semburan hidung untuk meredakan hidung tersumbat dan antibiotik, sekiranya terkena selesema. Oleh kerana tiada ubat khusus untuk anak damit, sewajarnya ibu bapa mengetahui cara mengatasi selesema anak damit. Penulis juga membawa beberapa jalur pembalut dalam peti pertolongan cemas.
Tidak dilupakan, tisu basah anti-bakteria (perlu diingat, kabin pesawat dan bilik hotel tidak bebas bakteria) dan minyak angin sebagai persediaan sekiranya anak penulis meragam tidak menentu.
Selain itu, penulis membawa topi untuk melindungi anak daripada matahari atau apabila cuaca menjadi sejuk ketika bersiar-siar di Paris kelak.
Penulis juga membawa losyen pelindung cahaya matahari, bukan sahaja untuk penulis malah untuk anak. Ya, pelindung matahari penting bagi anak damit ketika melakukan sebarang kegiatan luar, tanpa mengira musim. Sebaiknya, gunakan salah satu yang boleh memberi perlindungan UVA dan UVB, dengan SPF sekurang-kurangnya 15. Pelindung matahari dengan SPF 30 sebenarnya lebih baik, terutamanya untuk anak damit yang berkulit cerah.
Pelindung matahari hanya perlu disapu di bahagian muka dan belakang tangan pada anak damit yang berumur kurang dari enam bulan. Pelindung matahari boleh dibeli di kebanyakan farmasi dengan harga antara RM30 hingga RM60. Pelindung matahari organik pula berharga kira-kira RM100.
Urusan penerbangan
Penulis tidak membeli tiket penerbangan secara dalam talian, sebaliknya terus ke kaunter di pejabat syarikat penerbangan di Jalan Sultan Ismail, di sini, memandangkan Penulis perlu membuat beberapa permintaan khusus. Penulis meminta kerusi bulkhead seat (di belakang dinding) untuk penulis dan suami (suami turut serta untuk perjalanan ini) dan basinet untuk anak damit kami. Bulkhead adalah pembahagi yang memisahkan mana-mana kelas atau bahagian dalam pesawat dan ibu bapa membawa kanak-kanak menaiki penerbangan biasanya meminta kerusi di bulkhead kerana ruangnya yang lebih selesa. Perlu diingat bahawa permintaan untuk bulkhead seat dan basinet perlu dibuat terlebih dahulu.
Penerbangan ke Paris, dengan transit di Doha, dijadual berlepas pada 10.50 pagi tetapi kami berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur seawal 7.00 pagi bagi memastikan kami mendapat tempat duduk seperti yang diminta.
Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Doha, dan Doha ke Paris memakan masa 14 jam termasuk tempoh transit. Penulis membawa bagasi tangan, beberapa mainan kegemaran anak damit dan gelung gigitan (teething ring) untuk anak damit agar dapat mengalihkan perhatiannya daripada kesan gelora udara.
Semasa pelepasan dan pendaratan, anak damit cenderung untuk menangis kerana mudah mengalami sakit telinga berikutan perubahan tekanan udara. Ibu digalakkan untuk menyusu anak damit atau membiarkan anak damit menghisap botol atau cawan susu agar tekanan di dalam telinganya seimbang. Biarkan anak damit anda sekiranya dia sedang tidur ketika waktu berlepas atau mendarat.
Sekiranya anda melangkaui zon masa, tidak perlu bimbang tentang jadual tidur anak damit. Ini kerana anak damit mudah menyesuaikan diri dengan zon waktu baru. Pengalaman tempoh hari, penulis menyusui anak damit ketika berlepas dan mendarat. Anak damit penulis tidak dapat tidur dalam keadaan pesawat yang kurang stabil akibat daripada pergolakan udara yang membuatkannya tidak selesa.
Penulis membiarkan anak damit penulis tidur semasa penerbangan tujuh jam dari Kuala Lumpur ke Doha tetapi dia bangun beberapa kali untuk menyusu. Dalam perjalanan dari Doha ke Paris, penulis bermain-main dan bercakap-cakap dengannya agar dia tidak terlelap, sebaliknya bersedia untuk tidur ketika mendarat di Paris kelak, iaitu pada 9.00 malam waktu tempatan.
Tip-tip tambahan
Jika anda menyusu, pastikan anda banyak minum sepanjang penerbangan. Bagaimanapun, sesetengah ibu lebih memilih untuk menyusukan anak damit mereka dengan susu ibu perahan (EBM) ketika dalam penerbangan. Membawa EBM ketika dalam penerbangan tidak menjadi masalah kepada pihak berkuasa tetapi pastikan botol susu mudah diakses oleh pegawai keselamatan yang memeriksa beg anda.
Simpan botol EBM sama ada dalam beg atau kotak penyejuk, di mana anda menggunakan ais kering bagi memastikan susu kekal beku sehingga tiba di destinasi. Sekiranya anak damit tidak menyusu badan, jangan lupa untuk membawa bekalan susu formula untuknya! Anda boleh menganggarkan berapa banyak susu tepung yang diperlukan oleh anak damit semasa tempoh perjalanan dan untuk memudahkan lagi, sebaiknya simpan susu tepung dalam bekas berasingan mengikut sukatan setiap kali menyusu. Bila tiba masa untuk menyusu, masukkan susu tepung daripada bekas simpanan terus ke dalam botol dan campurkan air panas, yang boleh diperoleh daripada pramugara atau pramugari.
Sekiranya anak damit anda makan makanan pejal, bawalah makanan anak damit mengikut keperluan tempoh perjalanan selain sedikit snek.
Bawa lampin secukupnya untuk perjalanan. Elok juga untuk membawa lampin tambahan sebagai persediaan sekiranya berlaku penangguhan penerbangan. Juga, bawa sekali beg-beg sampah untuk membuang lampin kotor dan krim bagi melegakan ruam kerana kurang kekerapan menukar lampin mungkin boleh merengsakan kulit anak damit.
Jika anda berhasrat membawa anak damit bersiar-siar ketika melancong, sebaiknya bawa kereta sorong anak damit yang ringan. Kereta sorong boleh dibawa sebagai bagasi tangan tetapi anda perlu memastikan ia mempunyai beg sendiri untuk keselamatan dan dimasukkan dalam ruang penyimpanan.
Setelah menikmati perjalanan bersama-sama suami dan anak damit ke Paris, penulis ingin katakan kepada golongan ibu supaya tidak terlalu gusar jika ingin melancong dengan anak yang masih anak damit: “Jangan rasa tertekan. Nikmatilah perjalanan anda!” – Bernama