SINGAPURA, 28 Julai – Eder telah menjaringkan dua gol menerusi tandukan bagi memberikan Inter Milan kemenangan 2-0 ke atas Bayern Munich kelmarin dalam perlawanan persahabatan pra musim di Singapura.
Terdapat sedikit kerisauan buat juara Jerman apabila Franck Ribery berjalan tempang di akhir separuh masa pertama, tetapi jurulatih Carlo Ancelotti berkata dia mengalami kecederaan sedikit pada buku lali dan akan kembali dalam tempoh beberapa hari.
Bayern mendominasi awal perlawanan tetapi sebaliknya Inter pula yang berjaya meraih gol pembukaan pada minit kelapan.
Satu hantaran lintang Antonio Candreva menemui Eder, 30, yang membuat tandukan menewaskan penjaga gol Bayern, Sven Ulreich.
Bermain di depan sekitar 23,000 penyokong di stadium utama bandar itu, Inter menjaringkan gol keduanya pada minit ke-30 dalam satu lagi serangan balas pantang.

Pemain sayap Croatia, Ivan Perisic membuat hantaran lintang yang menemui Eder yang meluru melepas dua pemain pertahanan bagi gol tandukan kedua perlawanan.
Ribery kelihatannya ancaman besar kepada Inter, meskipun jaura Jerman itu kelihatannya agak tumpul.
Tetapi empat minit kemudian selepas gol kedua, dia meninggalkan padang dengan kecederaan, digantikan oleh Milos Pantovic.
Bayern berkata Ribery memerlukan beberapa jahitan bagi luka pada buku lali itu, tetapi Ancelotti menambah ia ‘hanya masalah kecil’ dan pemain itu akan kembali dalam tiga ke empat hari.
Eder tidak mendapat peluang untuk melengkapkan hatrik apabila dia digantikan pada minit ke-50 dengan Garbriel Barbosa oleh jurulatih Inter, Luciano Spalletti.
Keputusan itu adalah rangsangan baik untuk bos Inter Milan, Spalletti, yang menjadi jurulatih kelab sejak bulan lalu.
“Secara keseluruhan, Inter bermain permainan yang sangat bagus,” katanya selepas perlawanan.
“Saya sangat bangga dengan pasukan saya. Kami telah bermain dengan sangat baik di barisan pertahanan begitu juga barisan serangan.
Perlawanan itu merupakan sebahagian daripada Piala Juara-Juara Antarabangsa, yang menggumpulkan beberapa kelab terkemuka Eropah. – AFP