Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Bazar Ramadan kembali, patuhi SOP

    Oleh Ak Zaki Kasharan & Daniel Lim
    Gambar oleh Muiz Matdani & Daniel Lim

    BANDAR SERI BEGAWAN/BELAIT, 3 APRIL – Sebut sahaja Ramadan, ia paling sinonim dengan puasa, solat Sunat Tarawih dan gerai atau bazar Ramadan yang paling dinanti-nantikan oleh rakyat dan penduduk di negara ini.

    Gerai Ramadan lazimnya pilihan utama atau alternatif bagi penduduk mendapatkan juadah berbuka puasa pada bulan mulia ini dan gerai-gerai ini boleh dikunjungi di seluruh daerah sama ada kelolaan jabatan bandaran, badan persendirian atau komuniti kampung. Salah sebuah gerai Ramadan yang tidak pernah lekang dikunjungi orang ramai meskipun negara berdepan gelombang ketiga penularan wabak COVID ialah Bazar Ramadan di kawasan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

    Tahun ini, sebanyak lebih 100 petak jualan menyertai bazar tersebut yang beroperasi seawal jam 2 petang bagi menyediakan aneka juadah pilihan daripada hidangan tradisional sehinggalah Nusantara dan Barat, masakan India dan banyak lagi.

    Wartawan Media Permata berpeluang membuat tinjauan pada hari pertama bazar Ramadan beroperasi dan menemu bual beberapa peniaga di bazar tersebut.

    Salah seorang peniaga ketika ditemui, Awang Muhammad Khairul Amri bin Roslan dari Kampung Mentiri, yang baru pertama kali menyertai jualan di gerai Ramadan pada tahun ini sempat mengongsi perasaan dan harapannya serta melahirkan kegembiraan dapat mencari rezeki bersama peniaga lain.

    “Saya akan menggunakan peluang ini untuk mengembangkan lagi perniagaan dan nama syarikat saya agar dikenali suatu hari nanti,” katanya yang menjual mi pelbagai jenis melalui livecook.

    Orang ramai berkunjung ke salah sebuah gerai di sekitar Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
    Orang ramai berbaris untuk memasuki Gerai Ramadan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, yang dihadkan pada kapasiti 500 orang sahaja.
    Para peniaga dan pengunjung pada hari pertama gerai Ramadan di Daerah Belait.
    Dayang Ati Hartina ketika ditemu bual oleh media semasa berkunjung ke gerai Ramadan di perkarangan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

    Sementara itu, salah seorang pengunjung ketika ditemui, Awang Mohamad Ali Noh bin Haji Masri berkata bahawa pada setiap tahun beliau akan pergi ke gerai Ramadan berkenaan bersama keluarga dan rakan-rakan memandangkan gerai di sana menawarkan pelbagai pilihan seperti kuih-muih dan lauk untuk penyungkaian sekeluarga berbanding tempat-tempat lainnya.

    “Oleh itu saya begitu teruja apabila mendapat tahu pada tahun ini gerai Ramadan turut dibukakan sekali lagi, bukan sahaja memberi peluang kepada para peniaga mencari rezeki, malahan orang ramai dapat mencari juadah sungkai bersama keluarga dan rakan-rakan,” tambah Awang Mohamad Ali Noh.

    Manakala seorang lagi pengunjung, Dayang Ati Hartina binti Zulkarnain ketika ditemui melahirkan rasa teruja dapat berkunjung ke gerai di stadium berkenaan.

    Meskipun dari Daerah Tutong, setiap tahun beliau berkunjung ke bazar itu kerana banyak pilihan juadah makanan, tambahnya.

    Bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) hanya 500 pengunjung dibenarkan memasuki kawasan gerai pada satu-satu masa dengan nombor diberikan bagi pengunjung yang datang dan perlu mengimbas kod BruHealth di salah satu pintu masuk daripada dua pintu masuk dan keluar disediakan.

    Selain itu, pengunjung juga perlu memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

    Sementara itu di Daerah Belait, gerai Ramadan di Tudong Saji Kuala Belait dan Pasarneka Seria turut memeriahkan Ramadan tahun ini.

    Menurut seorang pegawai dari Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, Awang Mohammad Azman bin Mohamed Ali, terdapat 92 gerai makanan dan minuman di kedua-dua tempat tersebut.

    Peniaga dan pengunjung juga perlu mengambil langkah-langkah kesihatan yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan semua, termasuklah kawalan di pintu masuk gerai bagi memastikan pengunjung dan peniaga mematuhi SOP lazim.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China kecewa AS guna veto halang Palestin anggotai PBB

    BEIJING, 19 APRIL - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) gagal meluluskan draf resolusi untuk menerima Palestin sebagai anggota rasmi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)...