Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    BDB, Shanghai Youzhu meterai MoU

    ALOR SETAR, 22 JAN – Bina Darulaman Berhad (BDB) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Shanghai Youzhu Industry Co. Ltd. (Shanghai Youzhu) hari ini bagi menjalin kerjasama antarabangsa untuk melaksanakan projek pengurusan sisa industri secara inovatif.

    Pengarah Eksekutif BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata kerjasama itu turut menjadi inisiatif BDB untuk menyumbang kepada kelestarian alam sekitar melalui pembangunan mampan.

    “Ini bertujuan untuk memanfaatkan kepakaran kedua-dua pihak dalam melaksanakan pengurusan sisa industri yang komprehensif, meminimumkan kesan terhadap alam sekitar dan menggalakkan pembangunan mampan.

    “Langkah ini juga dapat memastikan pematuhan kepada garis panduan dan arahan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan selepas majlis pemeteraian MoU itu di sini.

    Raja Shahreen mewakili BDB menandatangani dokumen itu manakala Shanghai Youzhu diwakili oleh Presiden Shanghai Youzhu Industry Co. Ltd, Yu Qiang.

    Mengulas selanjutnya, Raja Shahreen berkata kerjasama itu juga bertujuan menyumbang kepada kesejahteraan penduduk dan komuniti di kawasan persekitaran serta pihak pemegang taruh yang berkaitan.

    “Selaras dengan objektif ini, BDB dan Shanghai Youzhu turut merancang dan melihat potensi menubuhkan syarikat usaha sama berkaitan pembangunan pengurusan sisa industri di Kedah,” katanya.

    Beliau berkata BDB memilih untuk bekerjasama dengan Shanghai Youzhu berdasarkan kepakaran dan pengalaman 27 tahun syarikat itu dalam menguruskan proses keseluruhan rantaian bekalan bahan kimia industri.

    Pada masa sama, Shanghai Youzhu juga mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam aspek pemulihan dan pengurusan sisa pepejal, termasuk sisa berbahaya dan terjadual, proses kitar semula sisa buangan dan mempunyai sistem pengurusan sisa industri secara holistik. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...