Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah menerbitkan Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) bagi Negara Brunei Darussalam untuk bulan November 2022 yang dikeluarkan hari ini.
Terdapat sembilan sub-indeks dalam BSI di mana Sub-indeks Keadaan Perniagaan, sebagai indeks utama BSI, adalah 50.3 bagi November 2022 berbanding 49.9 bagi Oktober 2022.
Secara amnya, perniagaan sektor swasta berpandangan optimistik terhadap keadaan perniagaan pada November 2022 atas jangkaan peningkatan aktiviti, tahap jualan dan jumlah projek.
Walau bagaimanapun, beberapa sektor menganggarkan penurunan terhadap prestasi perniagaan disebabkan jangkaan tahap pengeluaran yang lebih rendah, kelembapan aktiviti dan tahap pendapatan yang berkurangan disebabkan oleh musim hujan dan pembukaan sempadan.
Memandang ke hadapan, perniagaan secara amnya berpandangan optimistik terhadap prestasi pada Disember 2022 dengan indeks bagi keadaan perniagaan satu bulan ke hadapan di tahap 50.5.
Ia didorong oleh jangkaan lebih banyak projek dan acara-acara menjelang akhir tahun.
Disember juga biasanya bulan penerimaan gaji bonus bagi pekerja-pekerja, serta musim cuti sekolah dan musim perayaan.
Walau bagaimanapun, beberapa perniagaan telah mengongsikan kebimbangan terhadap keadaan perniagaan pada Disember berikutan percutian keluar negara bagi kebanyakan warga dan penduduk tempatan.
Sementara itu, Sub-indeks Pelaburan adalah 50.1 bagi November, 50 untuk satu bulan ke hadapan, dan 50.1 bagi tiga bulan ke hadapan.
Ia menunjukkan bahawa, secara amnya, para peniaga menjangka akan meningkatkan sedikit atau mengekalkan tahap perbelanjaan pelaburan pada beberapa bulan yang akan datang.
Pelaburan tersebut merangkumi pelbagai jenis termasuk pembinaan infrastruktur ladang, pembelian bahan-bahan untuk pelaksanaan projek, peralatan dan mesin baharu, kenderaan syarikat, pengubahsuaian dan pengembangan premis perniagaan, pembukaan cawangan baharu dan penambahan stok inventori.
Sub-indeks Pengambilan Pekerja pula 50.3, dan 50 bagi satu bulan ke hadapan.
Ia menunjukkan bahawa pada November 2022, perniagaan secara amnya menjangka akan mengambil lebih ramai pekerja disebabkan kekurangan tenaga kerja dan menggantikan pekerja yang telah berhenti, serta mengembangkan tenaga kerja mereka, sejajar dengan rancangan-rancangan perkembangan dan kenaikan bilangan projek.
Memandang ke hadapan, jumlah pekerja dijangka tidak akan berubah pada Disember 2022.
Sub-indeks Kos Perniagaan adalah 50.3, dan 50.1 bagi satu bulan ke hadapan.
Para peniaga secara amnya menjangka kos menjalankan perniagaan akan meningkat pada November dan Disember 2022.
Ia disebabkan faktor-faktor termasuk kenaikan harga makanan dan bahan-bahan mentah, peningkatan kos pengangkutan, perbelanjaan penyelenggaraan, kenaikan perbelanjaan projek dan gaji, peningkatan aktiviti pemasaran, dan pembelian tiket penerbangan untuk pekerja asing kembali ke negara asal.
Dari segi sektor ekonomi, tiga daripada 11 sektor mencatatkan sentimen optimistik pada November 2022.
Sektor kewangan dan insurans menunjukkan kenaikan indeks yang tertinggi, dengan jangkaan peningkatan prestasi menjelang hujung tahun dengan persekitaran kenaikan kadar faedah dan juga permintaan terhadap produk dan perkhidmatan.
Sektor minyak dan gas dan yang berkaitan juga menjangkakan prestasi yang akan bertambah baik dengan peningkatan tahap pengeluaran dan penyelesaian projek.
Sebaliknya, sektor pembinaan menunjukkan sentimen yang pesimistik bagi November 2022 atas jangkaan penurunan jumlah projek disebabkan musim hujan.
Sektor perdagangan borong dan runcit juga melaporkan kemerosotan disebabkan kelembapan dalam tahap permintaan dengan peningkatan aktiviti rentas sempadan.Sementara itu, sektor-sektor lain melaporkan sentimen terhadap keadaan perniagaan yang hampir sama pada November 2022 berbanding Oktober 2022.
Dari segi indeks mengikut saiz perniagaan, perusahaan bersaiz medium dan besar berpandangan optimistik pada November 2022 dengan keadaan perniagaan keseluruhan yang bertambah baik di-sebabkan peningkatan jumlah projek dan pemulihan tahap jualan secara am.
Sebaliknya, perniagaan bersaiz mikro dan kecil berpandangan pesimistik disebabkan penurunan jumlah projek dan tahap penjualan, di mana orang ramai berkemungkinan akan menangguhkan perbelanjaan bagi tujuan simpanan untuk percutian keluar negara pada Disember.
Indeks tersebut adalah berdasarkan kaji selidik ke atas lebih 600 buah perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana dan besar daripada 11 sektor ekonomi, dari semua daerah
di negara ini.
BSI bertujuan untuk mengukur tahap sentimen atau keyakinan perniagaan di Negara Brunei Darussalam dalam berbagai aspek termasuk keadaan semasa dan jangkaan bagi iklim perniagaan, pelaburan, pengambilan pekerja, dan kos menjalankan perniagaan.
Memandangkan BSI menggunakan pendekatan berpandangan ke hadapan, ia boleh digunakan sebagai salah satu petunjuk awal keadaan makroekonomi di dalam negara.
BDCB menjelaskan, nilai BSI atas 50 menandakan keadaan yang lebih baik atau sentimen lebih optimistik berbanding bulan sebelumnya, nilai BSI 50 pula menandakan keadaan
lebih kurang sama berbanding bulan sebelumnya, dan nilai bawah 50 menandakan keadaan yang merosot atau sentimen lebih pesimistik ber-banding bulan sebelumnya.
Untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai BSI, orang ramai boleh merujuk kepada nota teknikal mengenai metodologi dan statistik di laman sesawang BDCB di
www.bdcb.gov.bn. Orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan BSI melalui siaran akhbar yang akan datang dan akaun Instagram BDCB, @centralbank.brunei.