Tuesday, October 22, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    BDNAB tingkat kesedaran cacat penglihatan melalui acara Dining in the Dark

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JAN – Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Brunei Darussalam (BDNAB) baru-baru ini telah menghoskan lebih 100 individu bagi acara Dining in the Dark bagi meningkatkan kesedaran mengenai cabaran harian yang dihadapi oleh orang kelainan upaya (OKU) penglihatan.

    Makan malam amal yang diadakan di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dengan sokongan Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) juga berusaha mengumpul dana bagi inisiatif BDNAB ketika memperingati Hari OKU Antarabangsa.

    Antara yang hadir ialah Pengerusi Majlis Kebajikan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), Dato Paduka Haji Mohammad Alimin bin Haji Abdul Wahab selaku tetamu kehormat serta isteri.

    Presiden BDNAB, Awang Mohammad Hamzi bin Omar dalam ucapannya menggesa para pengunjung bagi menjalani pemeriksaan penglihatan secara berkala untuk mengelakkan masalah buta.

    Beliau turut mengetengahkan pelbagai program yang dijalankan persatuan sebelum penularan wabak COVID-19 bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kehidupan seharian OKU penglihatan.

    “Ini adalah kali pertama acara seumpama itu diadakan sejak pembatalan sekatan pandemik,” katanya.

    Para hadirin ditutup mata sepanjang makan malam, yang diharap dapat memberikan mereka pengalaman yang lebih baik tentang dunia tanpa penglihatan.

    Malam itu menampilkan persembahan ahli BDNAB, Dayangku Soffiezah binti Pengiran Haji Abu Bakar yang turut berkongsi kisah hidupnya dengan para hadirin.

    Dato Paduka Haji Mohammad Alimin dan isteri menuju ke tempat duduk mereka sambil menutup mata. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Awang Mohammad Hamzi sedang menyampaikan ucapan. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Para hadirin menikmati makan malam sambil menutup mata. – GAMBAR OLEH JAMES KON

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda