Oleh: Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dan Tipolis Pte Ltd, sebuah syarikat pemaju zon ekonomi khas generasi akan datang berpangkalan di Singapura, telah menandatangani perjanjian untuk menilai kebolehlaksanaan projek bersama yang berpotensi di Brunei baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BEDB, di sini, menerangkan bahawa perjanjian itu memulakan kajian kebolehlaksanaan khusus dan rundingan kontrak, selaras dengan usaha kepelbagaian Brunei di bawah visi negara, Wawasan Brunei 2035.
Majlis penandatanganan perjanjian berkenaan telah diadakan di auditorium utama Bangunan Rekaan dan Teknologi di Anggerek Desa pada 25 Februari lalu.
Semasa majlis berkenaan, BEDB telah diwakili oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, yang juga Pengerusi BEDB manakala mewakili Tipolis ialah Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Titus Gebel.
YB Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew mengetengahkan potensi projek berkenaan dengan menyatakan bahawa mereka adalah komited kepada mencapai Wawasan 2035 dan memastikan masa depan yang cerah bagi Brunei serta rakyatnya, di bawah kepimpinan berwawasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Beliau menambah bahawa mereka juga bermatlamat untuk menjadikan Brunei sebagai sebuah pusat untuk peluang, kemampanan dan pertumbuhan inklusif di rantau ini serta menarik pelaburan global.
“Projek ini berpotensi untuk menjadikan ekonomi kita lebih dinamik, mewujudkan peluang ekonomi yang lebih besar untuk rakyat Brunei dan memupuk kemakmuran jangka panjang. Kami tidak sabar-sabar untuk meneroka kemungkinan khususnya dalam beberapa bulan akan datang.”
Sementara itu, Dr Titus Gebel merakamkan sentimen yang serupa dan menyatakan keterujaan dengan peluang-peluang yang ditawarkan oleh Brunei serta ingin menyumbang kepada aspirasi Brunei.
Beliau menerangkan bahawa matlamat Tripolis adalah untuk menjana bandar raya yang unik yang membolehkan individu dan peluang serta menarik pelaburan selari dengan menawarkan peluang-peluang tempatan.
Tripolis adalah pakar dalam model berasaskan kontrak yang diterajui oleh sektor swasta di bawah konsep jenama bandar raya antarabangsanya, yang direka untuk memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi sambil diintegrasikan dengan strategi pembangunan jangka panjang bagi sesebuah negara.
