PARIS, 10 JULAI – Ia bermula dengan satu lakaran di atas beg muntah kapal terbang, namun kini menjadi aksesori paling diidamkan dalam dunia fesyen.
Beg Birkin yang dinamakan sempena pelakon, penyanyi dan ikon fesyen terkenal, mendiang Jane Birkin, dilelong di Paris hari ini.
Digelar ‘The Original Birkin’, beg tersebut dijangka mencecah ratusan ribu euro dalam jualan oleh rumah lelongan terkenal, Sotheby’s.
Beg ikonik itu direka khas untuk bintang kelahiran London oleh rumah fesyen Paris, Hermes, pada tahun 1984. Versi komersial beg itu kemudiannya menjadi antara barangan mewah paling eksklusif di dunia dengan harga sangat tinggi serta senarai menunggu boleh mengambil masa bertahun-tahun.
Asal usul aksesori fesyen tersebut cukup unik — hasil satu pertemuan kebetulan dalam penerbangan ke London pada awal 1980an antara Jane Birkin dan Ketua Hermes ketika itu, Jean-Louis Dumas.
Dalam beberapa temu bual terdahulu, Birkin menceritakan bagaimana mereka mula berbual selepas dia tidak sengaja menjatuhkan barang-barangnya di lantai kabin pesawat.
Birkin kemudian bertanya kepada Dumas mengapa Hermes tidak menghasilkan beg tangan yang lebih besar, lalu dia melakar di atas beg muntah pesawat bentuk beg yang diidamkannya.
Dumas kemudian menghasilkan sebuah prototaip khas untuknya dan Birkin setuju apabila Hermes meminta kebenaran untuk mengkomersialkan beg itu dengan namanya. – AP
