BEIJING, 26 JUN – Beijing telah melonggarkan sebahagian perintah lockdown selama seminggu yang dikenakan di ibu negara China untuk mengatasi gelombang jangkitan koronavirus kedua yang menjadi kebimbangan negara itu, di mana setakat ini tiga juta sampel telah diambil dalam tempoh dua minggu, kata para pegawai.
Puluhan tempat kediaman di seluruh kota telah ditutup, dengan pihak berkuasa melancarkan kempen ujian pengambil sampel bagi mengesan sebarang jangkitan baharu.
Sebilangan besar daripada mereka dikaitkan dengan kluster pasar Xinfadi yang luas di selatan bandar yang membekalkan sekitar 80 peratus hasil daging segar Beijing.
Sekatan itu dikurangkan pada hari Selasa untuk tujuh blok pangsapuri setelah penduduk diuji negatif terhadap virus itu, kata pegawai pada sidang media hari ini. Sebahagian lainnya yang masih menunggu keputusan ujian koronavirus masih di bawah perintah kuarantin.
Sebelas kes virus baharu di Beijing dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah jangkitan di ibu negara sejak wabak itu kembali menular 11 Jun lalu kepada 280.
Pekerja dan pengunjung pasar makanan, penduduk berdekatan, pekerja restoran dan pekerja penghantaran telah menjadi sasaran utama ujian pengambilan sampel tatkala kebersihan bekalan makanan di Beijing kini menjadi keutamaan bagi mengekang penularan. – AP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2020/06/page-11-B_27062020.jpg)