Tuesday, April 29, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekalan elektrik terputus, Terbuka Madrid digantung

    MADRID, 28 APRIL – Kejohanan tenis Terbuka Madrid digantung hari ini disebabkan bekalan elektrik terputus yang dilaporkan di Sepanyol dan Portugal.

    Jelajah ATP menyatakan bahawa dua perlawanan perseorangan dan satu perlawanan beregu sedang berlangsung apabila bekalan elektrik terputus pada pukul 12:34 tengah hari waktu tempatan.

    “Gangguan ini menghalang penggunaan sistem pemanggilan garisan elektronik dan juga menyebabkan kamera tergantung di atas gelanggang di Stadium Manolo Santana,” tambah
    ATP.

    Grigor Dimitrov sedang mendahului Jacob Fearnley 6-4, 5-4 di dalam stadium utama apabila perlawanan dihentikan. Begitu juga, Matteo Arnaldi sedang mendahului Damir Dzumhur 6-3, 3-2 ketika perlawanan digantung. Perlawanan itu kemudian disambung – mungkin dengan pemanggilan garis manual – dan Arnaldi menang 6-3, 6-4.

    Beberapa pemain terus berlatih walaupun berlaku gangguan dan beberapa penonton masih berada di tempat duduk. Kegagalan elektrik tersebut menyebabkan gangguan pada rangkaian kereta api bawah tanah, talian telefon, lampu isyarat dan mesin ATM.

    Venue kejohanan tenis Terbuka Madrid kosong semasa gangguan elektrik umum di Madrid, kelmarin. – AP

    Pengedar elektrik Sepanyol, Red Electrica berkata pemulihan bekalan elektrik ke sebahagian besar negara selepas gangguan itu mungkin mengambil masa sehingga 10 jam.

    Syarikat itu enggan mengulas tentang punca gangguan tersebut.

    Dua perlawanan pusingan keempat wanita selesai sebelum berlakunya gangguan elektrik.

    Coco Gauff menewaskan Belinda Bencic 6-4, 6-2, manakala Mirra Andreeva menewaskan Yuliia Starodubtseva 6-1, 6-4.

    Gauff memuat naik cerita di Instagram yang menunjukkan hanya lampu kecemasan yang berfungsi di bilik persalinan yang gelap.

    “Tiada elektrik di kawasan bilik mandi. Jadi saya akan mandi dan saya akan beritahu awda semua bagaimana keadaannya,” kata pemain Amerika itu. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda