TOKYO, 30 JAN – Lelaki yang memegang rekod sebagai banduan hukuman mati paling lama di dunia menuntut lebih AS$1.3 juta sebagai pampasan daripada kerajaan Jepun selepas mahkamah membatalkan sabitan terhadapnya, kata peguamnya hari ini.
Iwao Hakamada, 88, diisytiharkan tidak bersalah tahun lalu dalam kes pembunuhan empat sekeluarga pada 1966, setelah lebih empat dekad menjalani hukuman di penjara, kebanyakannya di sel hukuman mati.
Mahkamah Wilayah Shizuoka dalam perbicaraan semula pada September lalu mendapati polis telah mengubah bukti, selain mendedahkan bekas petinju itu kepada ‘soal siasat tidak berperikemanusiaan’ sehingga dia dipaksa membuat pengakuan yang kemudian ditarik balik.
Pendakwa raya kemudiannya memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu, sekali gus menamatkan salah satu kes ketidakadilan terbesar dalam sejarah perundangan Jepun.
Kini sebagai individu bebas, Hakamada bersama pasukan pembelanya telah memfailkan tuntutan di Mahkamah Daerah Shizuoka kelmarin, menuntut pampasan lebih daripada 200 juta yen (AS$1.3 juta) daripada kerajaan Jepun.
Jumlah itu adalah had maksimum yang dibenarkan di bawah undang-undang pampasan jenayah Jepun, yang menetapkan bayaran sehingga 12,500 yen (AS$81) bagi setiap hari dalam tahanan selepas sabitan dibatalkan.
“Jumlah ini jauh daripada mencukupi memandangkan beliau telah mengalami pemenjaraan paling kejam dalam tempoh yang begitu lama sebagai banduan hukuman mati,” kata peguamnya, Hideyo Ogawa.
Menurut Ogawa, hukuman penjara yang panjang dengan ancaman hukuman mati yang berterusan telah memberi kesan mendalam kepada kesihatan mental Hakamada, yang digambarkan sebagai ‘hidup dalam dunia fantasi’.
“Kami berharap pampasan ini dapat memberi ketenangan kepada beliau dan kakaknya, Hideko, untuk menikmati sisa hidup mereka dengan lebih damai,” tambah Ogawa. – AFP