SYDNEY, 17 JULAI – Bekas Menteri Petroleum Papua New Guinea (PNG), Jimmy Maladina, akan dihadapkan ke Mahkamah Australia pada Mac tahun depan atas tuduhan menyerang seorang wanita dalam satu pertengkaran domestik.
Maladina, 58, hadir di Mahkamah Pusat Downing hari ini bagi menetapkan tarikh perbicaraan berhubung kes serangan yang didakwa berlaku pada 6 Julai di sebuah apartmen di Bondi, kawasan mewah pantai Sydney. Namun, identiti wanita tersebut tidak didedahkan atas sebab perundangan.
Majistret Jennifer Atkinson menetapkan tarikh perbicaraan pada 20 Mac, walaupun peguam bela Maladina, Margaret Cunneen, memohon tarikh lebih awal.
Perdana Menteri PNG, James Marape, 10 Julai lalu mengumumkan bahawa Menteri Tenaga, Thomas Opa, telah mengambil alih portfolio petroleum sejak Maladina meletak jawatan bagi menghadapi proses mahkamah.
Maladina kekal sebagai ahli parlimen kerajaan dan berharap untuk kembali ke kabinet negara kepulauan Pasifik Selatan itu selepas dibebaskan daripada tuduhan serangan yang menyebabkan kecederaan badan, yang membawa hukuman maksimum lima tahun penjara.
Ia adalah penampilan kedua Maladina di mahkamah.
Peguamnya mengemukakan pengakuan tidak bersalah pada penampilan pertama beliau pada 11 Julai.
Maladina ditahan selepas polis dipanggil ke apartmen di Bondi dan menemui seorang wanita berusia 31 tahun dengan kecederaan di muka.
Maladina dibebaskan dengan jaminan dan dilarang daripada menghubungi wanita tersebut.
Bagaimanapun, tiada syarat jaminan yang menghalangnya daripada kembali ke PNG, jiran terdekat Australia dan penerima terbesar bantuan asing Australia. – AFP
